IPD Tawau tumpaskan dua kegiatan dadah
19:10 Oct 15, 2025  |  By SabahKini2
IPD Tawau tumpaskan dua kegiatan dadah

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 12 tengah hari, dua lelaki warga asing berusia 24 dan 27 tahun ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Batu 3, Jalan Apas.

TAWAU: Dua kegiatan penyalahgunaan dadah berjaya ditumpaskan dalam dua serbuan berasingan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 12 tengah hari, dua lelaki warga asing berusia 24 dan 27 tahun ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Batu 3, Jalan Apas.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.17 gram yang disimpan dalam kotak rokok di atas lantai.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam serbuan kedua pada jam 1.40 petang, seorang lagi lelaki warga asing berusia 30-an ditahan di hadapan sebuah masjid di Kampung Tawau Lama.

“Hasil pemeriksaan menemui enam paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 31.27 gram dengan nilai anggaran RM3,440.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Beliau berkata, suspek berperanan sebagai ‘runner’ di kawasan perkampungan dengan bayaran upah RM100 bagi setiap urusan penghantaran.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Jasmin berkata, polis akan terus mempergiatkan risikan dan operasi bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu mengekang ancaman dadah di peringkat akar umbi,” katanya.

1 Comment