JIM Sabah tahan 29 PTI gagal kemuka dokumen pengenalan diri
17:10 Oct 16, 2025  |  By SabahKini2
JIM Sabah tahan 29 PTI gagal kemuka dokumen pengenalan diri

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk Shah Siti Saleha Habib Yusof berkata, operasi bersepadu yang dikenali sebagai Ops Selera, Ops Mahir dan Ops Sapu itu dijalankan hasil aduan awam dan maklumat risikan.

KOTA KINABALU: Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PTI) ditahan dalam siri operasi penguatkuasaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini antara 14 hingga 15 Oktober.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk Shah Siti Saleha Habib Yusof berkata, operasi bersepadu yang dikenali sebagai Ops Selera, Ops Mahir dan Ops Sapu itu dijalankan hasil aduan awam dan maklumat risikan bagi mengekang kehadiran warga asing tanpa dokumen sah.

Katanya, seramai 25 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu melaksanakan operasi bermula jam 11.30 pagi hingga 3.00 pagi keesokan harinya.

“Daripada 54 individu yang diperiksa, 29 ditahan terdiri daripada 12 warga Filipina dan 17 warga Indonesia yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau tinggal lebih masa di negara ini.

“Kesemua tahanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melindungi atau membenarkan PTI tinggal di premis masing-masing.

“Masyarakat turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini,” katanya.

Comment