29 November ini ditetapkan sebagai tarikh PRN17 Sabah
17:10 Oct 16, 2025  |  By SabahKini2
29 November ini ditetapkan sebagai tarikh PRN17 Sabah

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November 2025, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bagi negeri Sabah.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November 2025, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Beliau berkata, keputusan tarikh itu dibuat selepas Mesyuarat Khas PRN Sabah di sini hari ini bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Menurutnya, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

Katanya, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara dibuka bermula dari 13 Oktober 2025, manakala tarikh tutup bagi kategori 1A pada 12 November 2025,  kategori 1B dan 1C masing-masing pada 21 Oktober 2025.

"Bagi menjalankan proses PRN17 Sabah, SPR telah melantik 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 196 Penolong Pegawai Pengurus serta seramai 33,002 petugas akan dilantik. 

"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding. 

"Sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan manakala, sebanyak  882 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi/saluran dan 58 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 87 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan," jelasnya pada sidang media itu.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan pusat mengundi adalah sebanyak 940 pusat mengundi melibatkan sebanyak 3,645  tempat mengundi/saluran. 

Dalam pada itu katanya, PRN17 Sabah dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM116.8 juta. 

Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN17 Sabah adalah yang terkini sehingga DPPR bulan Ogos tahun ini yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025.

"DPPR bagi PRN17 Sabah dijadualkan akan mula dijual pada 1 November 2025 dan mengandungi seramai 1,784,843 pemilih yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 tentera serta pasangan, dan 12,729 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA). 

"Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

"Waktu operasi Hotline SPR adalah dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari dan semakan boleh dibuat mulai 1 November 2025," jelasnya.

Comment