KOTA KINABALU: Dua buah rumah jenis kekal dan tiga kereta musnah dalam kebakaran yang berlaku di sebuah taman perumahan di Luyang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 3.50 pagi sebelum sepasukan anggota BBP Kota Kinabalu bersama BBP Lintas digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan dua rumah kekal dengan sebuah daripadanya terbakar sepenuhnya manakala satu lagi mengalami kemusnahan sebanyak 50 peratus.
“Kebakaran turut memusnahkan tiga buah kenderaan yang diletakkan berhampiran iaitu kenderaan jenis kompak, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) kesemuanya terbakar sepenuhnya,” katanya.
Katanya, operasi pemadaman dijalankan secara ofensif dan defensif menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan, menggunakan sumber air dari jentera bomba dan pili bomba berhampiran.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.22 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.58 pagi selepas memastikan kawasan selamat dan tiada ancaman bahaya lain.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap dalam kejadian itu selepas semua penghuni berjaya keluar sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya.
Katanya, hasil tindakan anggota bomba yang mengekang api daripada merebak ke kawasan lain berjaya menyelamatkan 22 buah rumah berhampiran dari musnah.
Turut berada di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan Sabah Electricity yang membantu dalam aspek keselamatan kawasan operasi.

