KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum memutuskan untuk membenarkan pengundi rakyat Sabah yang berada di luar negeri itu mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Sehubungan itu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, rakyat Sabah di Semenanjung perlu balik jika mahu mengundi pada 29 November depan.
"Buat masa ini keputusan berhubung perkara itu belum lagi diputuskan oleh SPR, jadi pengundi rakyat Sabah yang berada bukan di Sabah kena balik ke sini untuk mengundi.
"Belum ada keputusan untuk PRN Sabah," katanya selepas mengumumkan tarikh penting PRN17 di Auditorium Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, semalam.
Beliau ditanya mengenai permintaan agar rakyat Sabah yang berada di Semenanjung dibenarkan mengundi secara pos bagi memudahkan mereka mengundi tanpa perlu balik ke Sabah berikutan kos penerbangan yang tinggi.
PRN17 Sabah ditetapkan pada 29 November depan, manakala tarikh penamaan calon pada 15 November dan mengundi awal pada 25 November.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau menyokong seruan pelbagai pihak yang meminta SPR mempertimbangkan pelaksanaan undi pos bagi warga Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung.
Madius berkata, ia bukan permintaan kali pertama tetapi sudah banyak kali diajukan oleh pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti BERSIH.
"Bagi saya langkah ini wajar dilaksanakan bagi memastikan rakyat Sabah yang berada di luar negeri asal tidak terhalang daripada menunaikan tanggungjawab dan hak demokrasi.
"Ramai warga Sabah di Semenanjung menghadapi kesukaran untuk pulang ke kampung semasa pilihan raya disebabkan kesukaran mendapatkan penerbangan, tambang penerbangan yang tinggi, selain kesukaran mendapatkan cuti dan kekangan masa.
"Cadangan undi pos ini dapat membantu mereka menunaikan kewajipan terhadap negara tanpa menanggung beban yang besar," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraisah Munirah Majilis, berkata selaku Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen, beliau sudah menyuarakan kepada SPR mengenai keperluan untuk Rakyat Sabah di Semenanjung diberikan hak untuk mengundi tanpa perlu berada di Sabah.
Katanya, berikutan keputusan SPR yang dijelaskan Ramlan semalam, beliau mencadangkan dua perkara kepada kerajaan Persekutuan bagi memastikan rakyat Sabah dapat menjalankan tanggungjawab dan hak mengundi pada PRN17.
"Pertama, saya mohon agar kerajaan Persekutuan memberikan cuti tanpa rekod sehari sebelum hari mengundi kepada rakyat Sabah yang berada di Semenanjung untuk pulang ke Sabah.
"Kedua, saya mohon agar kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan memastikan agar tambang penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dapat dikawal dan diturunkan kepada satu kadar yang munasabah dan mampu," katanya.
Ketika ini, undi pos hanya diberikan kepada tiga kategori 1A iaitu untuk petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media; 1B untuk warga negara Malaysia di luar negara dan kategori 1C untuk agensi atau organisasi.
Proses undi pos sudah dibuka sejak 13 Oktober hingga 12 November depan bagi kategori 1A, manakala hingga 21 Oktober ini bagi kategori 1B dan 1 C.