KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan semula terhadap geran bagi tahun-tahun yang hilang dalam tempoh 90 hari.
"Keputusan ini mengesahkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 112C dan 112D,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan itu juga mengiktiraf peranan penting Kerajaan Negeri Sabah yang terus mempertahankan dan menegaskan hak perlembagaan negeri.
Menurutnya, usaha kerajaan negeri dalam memperjelas rekod sejarah, termasuk 'Share of Growth of Federal Revenue Derived from Sabah' dari 1964 sehingga 1968, telah memainkan peranan penting dalam menegaskan bahawa niat dan kesan Perkara 112C dan 112D kekal tidak berubah.
“Penerimaan bayaran interim adalah tanpa menjejaskan hak perlembagaan negeri,” katanya.
Sejak awal lagi, Hajiji berkata, dalam setiap mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa konsisten dan tegas dalam mengemukakan tuntutan negeri.
“Kami telah memperjuangkan isu ini tanpa henti melalui setiap saluran rasmi, setiap mesyuarat MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dan melalui banyak surat rasmi yang dihantar ke Putrajaya.
"Tidak sekali pun kami membiarkan perkara ini terhenti. Dengan keputusan ini, kami berharap Kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawabnyaseperti yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan perintah Mahkamah dalam semangat kerjasama dan saling menghormati, serta memastikan hak perlembagaan Sabah direalisasikan sepenuhnya.
Hajiji turut memuji tindakan SLS membawa isu ini ke mahkamah sebagai satu perkara berkepentingan awam.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid dalam keputusannya hari ini turut mengarahkan supaya kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah itu, seperti yang dikehendaki di bawah Perkara112D Perlembagaan Persekutuan.