JIM Sabah hantar pulang 255 PTI warga Indnesia
16:10 Oct 18, 2025  |  By SabahKini2
JIM Sabah hantar pulang 255 PTI warga Indnesia

Pemindahan berkenaan dilakukan menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal menggunakan dua feri dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

TAWAU: Seramai 255 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan imigresen, pada Khamis.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kumpulan itu terdiri daripada 223 lelaki, 27 wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara sembilan hingga 72 tahun.

Katanya, pemindahan berkenaan dilakukan menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal menggunakan dua feri dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

“Semua tahanan ini dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah, selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Mereka sudah menjalani hukuman penjara dan dihantar pulang selepas semua proses dokumentasi perjalanan lengkap,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sitti Saleha berkata, semua PTI terbabit akan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia semula mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

“Sehingga kini, bagi tahun 2025 sahaja, seramai 1,751 tahanan PTI warga Indonesia sudah dihantar pulang, menjadikan jumlah keseluruhan 8,328 warga asing dipindahkan sepanjang pelaksanaan program ini,” katanya.

Beliau berkata, proses pemindahan itu turut melibatkan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) yang mengeluarkan Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) bagi mempercepatkan proses penghantaran.

“JIM Sabah amat menghargai kerjasama pihak konsulat dan kedutaan dalam memastikan kebajikan tahanan sentiasa dijaga sepanjang proses pemindahan,” katanya.

Sitti Saleha turut menegaskan, penghantaran itu adalah langkah berterusan bagi mengelak tahanan berada terlalu lama di depot imigresen.

“Jabatan Imigresen Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas atau kemudahan diberikan.

“Tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan majikan dan masyarakat supaya hanya mengambil pekerja asing melalui saluran sah dan mematuhi undang-undang sedia ada.

“Jabatan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI di negeri ini,” katanya.

Comment