LAHAD DATU: Kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) kini diperkukuh apabila tiga bot laju jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) diserahkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata dua bot diserahkan kepada PGA dan satu kepada ESSCOM bagi meningkatkan rondaan serta kawalan keselamatan di perairan strategik Sabah Timur.
Katanya, aset bernilai RM4.497 juta itu dijangka membantu mempercepat tindak balas pasukan keselamatan terhadap ancaman rentas sempadan, terutama di lokasi berisiko tinggi.
“Pengoperasian bot ini akan memperkukuh kehadiran aset keselamatan di kawasan tumpuan seperti Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik dan perairan Tawau.
“Ia juga membolehkan anggota keselamatan bertindak pantas dalam mengawal sebarang ancaman dan memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Aset Bot Laju (RHIB) di Sapangar Shipyard, di sini, hari ini. Turut hadir, Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos
Bot berkenaan dibina oleh Sepanggar Shipyard Sdn Bhd dan disiapkan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2024.
Shamsul Anuar berkata, langkah itu selaras dengan perancangan Fasa Kedua ESSCOM untuk memperkukuh kawalan dan keselamatan perairan Sabah Timur.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam mempertingkat kesiapsiagaan aset dan keupayaan taktikal pasukan keselamatan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap kebajikan anggota keselamatan menerusi Belanjawan MADANI 2026, termasuk kelulusan pembinaan kuarters tambahan ESSCOM di Lahad Datu.
Beliau turut memuji kejayaan ESSCOM yang mengekalkan rekod sifar insiden penculikan selama hampir enam tahun sejak 2020 hasil kerjasama pelbagai agensi keselamatan.
“Pengorbanan anggota barisan hadapan di ESSZONE bukan saja mempertahankan sempadan negara, tapi juga membantu merancakkan ekonomi dan pelancongan di Sabah Timur,” katanya.

