SPRM tubuh pasukan khas pemantauan untuk PRN17 Sabah
17:10 Oct 18, 2025  |  By SabahKini2
SPRM tubuh pasukan khas pemantauan untuk PRN17 Sabah

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata lebih 40 pegawai dari ibu pejabat di Putrajaya akan ditempatkan di lapangan sepanjang tempoh kempen pilihan raya pada 29 November ini.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas pemantauan bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, bebas daripada sebarang unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata lebih 40 pegawai dari ibu pejabat di Putrajaya akan ditempatkan di lapangan sepanjang tempoh kempen pilihan raya pada 29 November ini.

"Kita sudah arahkan pasukan khas itu ditubuhkan di Kota Kinabalu sebagai pusat operasi utama dan akan disertai lebih 40 pegawai berpengalaman dalam memantau sebarang aktiviti berkaitan dengan SPRM.

"Sabah negeri yang luas dan banyak kawasan perlu diperhatikan. Sebab itu, kita tubuhkan pasukan khas selain menggunakan sistem pemantauan bagi memudahkan proses pengawasan di semua kawasan terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

SPR kelmarin menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian manakala dan 15 November bagi penamaan calon.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu bagi membolehkan PRN17 diadakan.

Mengulas lanjut, Azam berkata bilik gerakan utama pilihan raya di Kota Kinabalu, akan berperanan sebagai pusat operasi utama sebelum diperluas ke beberapa daerah lain di negeri itu sepanjang PRN.

Katanya, SPRM turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"SPRM dan PDRM masing-masing mempunyai kuasa berkaitan kesalahan pilihan raya. Justeru kerjasama antara kedua-dua agensi amat penting bagi memastikan proses pilihan raya berjalan secara telus dan berintegriti," katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.

Comment