LAHAD DATU: Seramai 26 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina ditahan dalam tiga siri operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah Kunak dan Lahad Datu, 14 hingga 15 Oktober lalu.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Kutip bagi membanteras kehadiran PTI serta memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, operasi pertama menerusi Ops Selera dilaksanakan pada 14 Oktober di sebuah premis perniagaan di Kunak dengan pemeriksaan terhadap 11 individu.
“Hasil pemeriksaan, seorang lelaki warga Filipina gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, Ops Sapu pula dijalankan pada 15 Oktober sekitar tengah malam di beberapa kawasan penempatan di Kunak dengan pemeriksaan terhadap 93 individu pelbagai warganegara.
“Seramai 11 warga Filipina membabitkan tujuh lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Sitti Saleha berkata, pada hari yang sama, Ops Sapu dan Ops Kutip diteruskan di sekitar kawasan penempatan awam Lahad Datu yang melibatkan 55 individu pelbagai warganegara.
“Hasilnya, 14 warga Filipina membabitkan sembilan lelaki, empat perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Secara keseluruhan, katanya, tiga siri operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 159 individu dan berjaya menahan 26 PTI warga Filipina.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI.
“Kerjasama orang awam amat penting dan kami menyeru supaya sebarang maklumat berkaitan keberadaan atau aktiviti PTI disalurkan melalui talian aduan dan platform rasmi jabatan,” katanya.

