GRS yakin akan menang dalam PRN17
20:10 Oct 19, 2025  |  By SabahKini2
GRS yakin akan menang dalam PRN17

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelancaran jentera GRS menjadi medan penting dalam memperkukuh strategi dan semangat seluruh anggota menjelang PRN17 bulan depan.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin akan memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, hasil kesatuan, kesiapsiagaan dan semangat juang jentera parti di semua peringkat.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelancaran jentera GRS menjadi medan penting dalam memperkukuh strategi dan semangat seluruh anggota menjelang PRN17 bulan depan.

"Jika kita memiliki jentera yang efisien, terlatih dan bersatu hati, Insya Allah GRS akan mencatat kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17," katanya semasa berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS, di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan jentera parti agar tidak leka, sebaliknya bekerja keras untuk memastikan kemenangan besar dan memastikan Sabah kekal ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan berwibawa.

Menurutnya, semangat juang perlu disemarakkan kerana dengan semangat yang padu dan kesatuan yang kukuh, tiada kekuatan lawan yang mampu menggugat perjuangan GRS.

Hajiji berkata, walaupun dua parti memilih untuk keluar daripada gabungan itu, namun kekuatan dan perpaduan GRS kekal utuh kerana perjuangan ini berasaskan keikhlasan dan persahabatan tulen demi masa depan Sabah.

"Peristiwa 'Langkah Kinabalu' mengajar kita sesuatu yang amat berharga, rumah kita sudah diuji dan rumah kita tidak tumbang. Rumah kita, kita jaga...rumah kita, rumah Gabungan Rakyat Sabah!” tegasnya.

Beliau berkata, GRS adalah cerminan kerjasama tulen parti-parti tempatan terbesar di Sabah dan tiada gabungan lain yang mampu menandingi kekuatan itu.

Katanya, tiada lagi gabungan sebesar GRS yang menyatupadukan parti-parti lokal dengan matlamat memperjuangkan hak orang Sabah sebagai rakan kongsi dalam Malaysia. 

Justeru jelasnya, penting untuk jentera pilihan raya pastikan GRS bukan sahaja menang, tetapi menang dengan penuh bergaya. Hajiji turut menekankan PRN kali ini bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi pertarungan menentukan masa depan Sabah. 

"Kemenangan GRS akan memberi kita suara lebih besar dalam memperjuangkan hak negeri dan memastikan dasar pembangunan sedia ada diteruskan. Jika gagal, rakyat dan negeri ini akan rugi.

"Saya menyeru jentera GRS di semua peringkat untuk menguasai medan media sosial dalam menangkis fitnah dan menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat. Pembangkang menabur fitnah dan propaganda di media sosial. Jika mereka menyerang dengan kebohongan, kita mesti serang balik dengan kebenaran dan fakta,” katanya.

Menurutnya, setiap ahli perlu menjadi penyampai maklumat yang tepat, berhemah dan berfakta bagi menangkis tohmahan serta fitnah pihak lawan. 

Beliau berkata, jangan biarkan Sabah kembali ke tangan mereka yang gagal mentadbir, tiada hala tuju jelas dan hanya berpolitik atas dasar dendam serta kepentingan peribadi.

"PRN17 kali ini bukan sekadar pertempuran di lapangan, tetapi juga di ruang maya. Medan media sosial menjadi gelanggang utama untuk membentuk persepsi rakyat. Kemenangan GRS banyak bergantung kepada sejauh mana kita mampu menguasai ruang ini dengan mesej yang jelas, pantas dan berkesan," tegasnya.

Katanya, jika seluruh jentera GRS bersatu, tangkas, dan kreatif menggunakan media sosial sebagai alat komunikasi utama, maka tidak ada propaganda pembangkang yang mampu menggugat keyakinan rakyat terhadap GRS. 

Hajiji berkata, semangat juang GRS tidak akan luntur biarpun berdepan cabaran getir.

“Gunung yang tinggi tetap kita daki, lautan yang dalam tetap kita renangi! Rumah kita, kita yang jaga, kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya.

Comment