KOTA KINABALU: Rundingan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah selesai dan hanya menunggu untuk diumumkan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusinya yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata walaupun ada beberapa kerusi masih dalam perbincangan, ia sudah di peringkat hampir muktamad dan tidak akan menjejaskan persediaan menghadapi pilihan raya.
"Jangan susah, sebenarnya sudah (selesai rundingan), tapi kita tidak boleh umum awal betul. Bilangan kerusi sudah (diputuskan), kalau pun ada satu dua kerusi (masih dirunding), perundingan sudah capai ke tahap hampir muktamad," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Menerusi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), gabungan parti tempatan Sabah itu dijangka bakal bertanding di 50 kerusi berdasarkan permintaan PH untuk bertanding di 23 kerusi.
Sementara itu, Hajiji yakin momentum jentera GRS yang dilihat pada pelancaran jenteranya hari ini yang turut dihadiri presiden enam parti komponen serta kira-kira 20,000 anggota jentera dan penyokong, mampu membawa kemenangan kepada gabungan itu pada PRN17.
"Momentum yang kita lihat hari ini memang cukup bersemangat, jadi pastikan parti masing-masing menang. Kita yakin dengan kemampuan GRS untuk berdepan pilihan raya ini dan insya-Allah sekali lagi diberi kemenangan.
"Jentera GRS sudah lama digerakkan di setiap cawangan dan bahagian seluruh negeri sebelum pelancaran secara rasmi yang dibuat hari ini. Ada bahagian yang sudah buat, sudah lancar sendiri lama sudah, hari ini untuk pelancaran secara rasmi sahaja," katanya.

 
  
