'Adakah kita yakin WARISAN selamatkan Sabah? Atau sebaliknya?' - Armizan
19:10 Oct 20, 2025  |  By SabahKini2
'Adakah kita yakin WARISAN selamatkan Sabah? Atau sebaliknya?' - Armizan

Armizan berkata, ini kerana Mohd Shafie didakwa gagal mempertahankan hak dan kepentingan Sabah dalam isu penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) pada 2012.

KUALA LUMPUR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, membidas Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilihat cakap tidak serupa bikin apabila membangkitkan soal mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata ini kerana Mohd Shafie didakwa gagal mempertahankan hak dan kepentingan Sabah dalam isu penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) pada 2012.

Beliau berkata, Mohd Shafie sepatutnya boleh mempertahankan hak dan kepentingan Sabah kerana ketika itu beliau adalah menteri Persekutuan ketika penggubalan akta terbabit dibuat.

"Retorik dilantun bahawa merekalah pejuang tegar hak dan kepentingan negeri. Tapi ironinya, di mana suara Mohd Shafie pada 2012 ketika menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Kanan Kabinet Persekutuan?

"Mengapa beliau tidak tegas membangkitkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sama bila kerajaan Persekutuan pada masa itu membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Laut Wilayah.

"Adakah beliau bersuara di Parlimen dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2012?" katanya melalui kenyataan, hari ini.

RUU Laut Wilayah menjadi akta Parlimen dan berkuat kuasa pada 22 Jun 2012. Ia menetapkan had hak dan kuasa sempadan maritim Sabah kepada hanya jarak sehingga tiga batu nautika.

Ia jelas mengubah sempadan asal maritim negeri sebagaimana yang termaktub dalam The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council, 1954.

Mohd Shafie pada 22 Julai lalu, lantang bersuara bahawa sebarang perkara yang menyentuh perubahan sempadan negeri perlu dipersetujui oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sambil memetik peruntukan Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, Armizan berkata, dalam isu penggubalan akta terbabit, GRS adalah 'hero' sebenar apabila menolak penguatkuasaan Akta 750 melalui kenyataan dibuat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini.

Katanya, pendirian kerajaan negeri di bawah GRS jelas tidak mengiktiraf Akta 750 yang mengehadkan sempadan negeri Sabah kepada tiga batu nautika kerana ia tidak pernah dirujuk dan mendapat persetujuan DUN.

"Sekarang kerajaan negeri GRS yang tegas dan berpendirian termasuk dizahirkan di DUN Sabah oleh Hajiji bahawa Sabah tidak menerima Akta 750.

"Siapa terbukti tegas? Siapa terbukti gagal? Mengapakah Mohd Shafie gagal mempertahankan hak dan kepentingan Sabah dalam isu penggubalan Akta 750 ketika beliau menjadi menteri Persekutuan?

"Inilah contoh apa yang dimaksudkan dengan peribahasa, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, cakap tidak serupa bikin," katanya.

Beliau turut menolak persepsi yang cuba dibawa WARISAN bahawa kerajaan GRS gagal memelihara hak khazanah alam, minyak dan gas Sabah.

Katanya, perjuangan GRS ketika berkuasa sudah terbukti apabila melalui hasil suara kerajaan negeri, Pakatan Harapan (PH) di Sabah dan kerajaan negeri Sarawak serta Persekutuan, bersetuju bahawa Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 hanya terpakai untuk Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Dengan rekod ini, adakah kita yakin WARISAN selamatkan Sabah? Atau kita selamatkan Sabah dari WARISAN?" katanya.

Comment