KUNAK: Seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua lori di Jalan Kunak–Semporna, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.46 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun yang memandu sebuah kereta disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Tiga penumpang lain yang juga rakannya didapati mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 8.46 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan dua buah lori tiga tan dan sebuah kereta.
“Seorang wanita tersepit di bahagian pemandu manakala tiga lagi mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan rescue tools bagi mengeluarkan mangsa tersepit.
“Wanita berkenaan berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Mayat wanita terbabit kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi” katanya.

  