BBP Tawau selamatkan lelaki hilang di hutan Kalabakan
16:10 Oct 21, 2025  |  By SabahKini2
BBP Tawau selamatkan lelaki hilang di hutan Kalabakan

Menurutnya, operasi SAR yang bermula selepas laporan diterima daripada PBS Kalabakan pada 16 Oktober lalu itu membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan bantuan lebih 70 penduduk kampung.

TAWAU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing dan mencari hasil hutan bersama sepupunya di kawasan hutan Batu 32, Jalan Kalabakan - Maliau Basin, sejak 14 Oktober lalu, akhirnya ditemukan selamat pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata mangsa berusia 31 tahun, ditemukan pada jam 7.43 pagi oleh Pasukan Gerakan Am di kawasan permatang, enam hari selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

“Pasukan bomba bersama agensi lain bergerak ke lokasi seawal jam 6 pagi dan hasil usaha bersepadu akhirnya mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.

“Mangsa terbabit dihantar ke Klinik Kesihatan Kalabakan menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi SAR yang bermula selepas laporan diterima daripada PBS Kalabakan pada 16 Oktober lalu itu membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan bantuan lebih 70 penduduk kampung.

Katanya, laporan awal mendapati mangsa keluar bersama sepupunya untuk memancing dan mencari hasil hutan, namun berpisah ketika dalam perjalanan pulang ke tapak perkemahan.

“Sepupunya cuba menghubungi mangsa melalui WhatsApp, namun komunikasi terputus selepas mangsa memaklumkan bateri telefonnya hampir habis,” katanya.

Jemishin berkata, usaha pencarian oleh sepupu mangsa sebelum itu gagal disebabkan keadaan cuaca hujan dan kawasan hutan yang luas, sebelum operasi SAR dilancarkan keesokan harinya.

“Operasi yang berlangsung selama enam hari itu akhirnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.35 pagi selepas mangsa ditemukan dalam keadaan stabil,” katanya.

Comment