KUALA LUMPUR: Persatuan Mahasiswa Sabah mahu pelaksanaan undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 dipertimbangkan bagi memudahkan pelajar di Semenanjung menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, meskipun berdepan kekangan kewangan dan jarak.
Yang Dipertua, Persatuan Mahasiswa Sabah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Debora Sylvia Devid, berkata pelaksanaan undi pos adalah langkah progresif dan inklusif bagi memastikan setiap rakyat Sabah termasuk golongan mahasiswa dapat menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka tanpa halangan geografi atau ekonomi.
Katanya, pelaksanaan undi pos akan memudahkan penyertaan rakyat Sabah yang menetap di luar negeri, terutamanya pelajar dan pekerja di Semenanjung Malaysia.
"Ramai antara kami tidak berkemampuan untuk pulang ke Sabah atas kekangan masa, jadual akademik, serta kos penerbangan yang tinggi.
"Justeru, melalui undi pos, kami masih dapat menyertai proses pilihan raya dengan mudah dan selamat. Beban kewangan juga dapat dikurangkan, sekaligus membolehkan lebih ramai rakyat Sabah menunaikan tanggungjawab mereka tanpa tekanan ekonomi," katanya.
Sebelum ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilapor menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia mengundi secara pos. Kumpulan itu turut mendesak SPR memperluas akses pengundian dan memperincikan rancangan untuk melaksanakan undi awal atau undi pos, termasuk bagi pengundi yang berada di hospital serta penjara.
Antara NGO berkenaan termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH); ENGAGE; Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE); Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama (TINDAK), serta Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek Sama).
Bagaimanapun, SPR belum memutuskan untuk membenarkan pengundi rakyat Sabah yang berada di luar negeri itu mengundi secara pos pada PRN17.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dilapor berkata rakyat Sabah di Semenanjung perlu balik jika mahu mengundi pada 29 November depan. Dalam pada itu, Debora berkata sistem undi pos berpotensi untuk meningkatkan kadar keluar mengundi dalam kalangan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung dan luar negeri.
"Sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang merantau jauh ke Semenanjung Malaysia bagi memastikan kami menerima pendidikan tinggi, kami juga membawa tekad yang tinggi untuk memastikan kami dapat menyumbang dalam pembangunan di peringkat negeri.
"Langkah ini (undi pos dapat) memastikan suara dan pilihan kami tetap diwakili dalam menentukan masa depan pentadbiran negeri, meskipun kami berada jauh dari tanah air sendiri," katanya.
Debora menyifatkan pelaksanaan undi pos mencerminkan penghormatan terhadap hak demokrasi setiap rakyat Sabah.
"Perkara ini memperkukuh semangat kenegaraan dan memastikan bahawa setiap suara, tanpa mengira lokasi, tetap mempunyai nilai dalam sistem pilihan raya negara. Kami berpendapat bahawa sistem undi secara pos masih boleh dilakukan secara adil dan kerisauan akan undi rosak boleh diatasi dengan membina sistem yang baik," katanya.

 
  
