SEMPORNA: Seorang wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sendiri dan terbalik sejauh kira-kira 50 meter dari jalan utama di Jalan Semporna–Pegagau, pagi tadi.
Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, berkata Norhaini Jumdani, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.11 pagi melalui talian MERS999.
“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera LFRT dari BBP Semporna digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai. Pasukan tiba di lokasi pada jam 6.43 pagi.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda telah terbabas sendiri sebelum terbalik,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Katanya, terdapat seorang mangsa wanita berusia lingkungan 30-an terperangkap di dalam kenderaan dan pasukan bomba bertindak mengeluarkannya dengan peralatan penyelamatan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
“Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.40 pagi,” katanya.
Norhaini menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutama ketika cuaca tidak menentu dan jalan licin bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

