JIM Sabah hantar 616 warga Filipina ke negara asal
00:10 Oct 25, 2025  |  By SabahKini2
JIM Sabah hantar 616 warga Filipina ke negara asal

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, program berkenaan melibatkan tahanan dari empat depot iaitu Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau dengan usia tahanan antara satu bulan hingga 71 tahun.

SANDAKAN: Seramai 616 warga Filipina yang ditahan di empat depot Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dihantar pulang ke negara asal melalui Program Pemindahan Tahanan Pendatang Tanpa Izin (PTI) Siri 18/2025, semalam.

Pemindahan itu dijalankan melalui Pelabuhan Sandakan menuju ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, menggunakan kapal MV Antonia 1 bagi memastikan perjalanan terkawal dan selamat.

Daripada jumlah berkenaan, 377 ialah lelaki, 134 wanita, 85 kanak-kanak berusia antara dua hingga 12 tahun serta 20 bayi berumur bawah dua tahun yang dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, program berkenaan melibatkan tahanan dari empat depot iaitu Kota Kinabalu, Papar,   

Beliau menjelaskan bahawa sejak awal tahun, sebanyak 8,956 tahanan asing sudah dipulangkan ke negara asal, meliputi 6,835 warga Filipina, 1,751 warga Indonesia, 221 warga Pakistan, 78 warga China, 34 warga Vietnam, 10 warga India, tiga warga Thailand dan 24 warga lain.

Katanya, semua tahanan terbabit sudah melalui proses perundangan dan memiliki dokumen perjalanan sah yang dikeluarkan oleh kedutaan masing-masing sebelum penghantaran dilakukan.

“Proses penghantaran tahanan amat bergantung kepada kelancaran pihak kedutaan dalam mengeluarkan Travel Document (TD) kerana kelewatan proses tersebut akan menjejaskan tempoh penahanan mereka di depot,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kedutaan yang memberi kerjasama baik bagi memastikan pemindahan berjalan lancar serta menepati peraturan sedia ada.

Dalam pada itu, Sitti Saleha menggesa majikan di Sabah supaya mengambil bahagian dalam program pendataan digital pekerja asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengawal dan merekod keberadaan tenaga kerja asing, terutamanya dalam sektor perladangan.

Menurutnya, usaha ini dapat membantu mengatasi isu lambakan PTI dan mengelakkan penyalahgunaan pelbagai dokumen tidak sah.

“Jabatan Imigresen tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah. 

“Mereka boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda maksimum RM50,000, hukuman penjara dan sebatan seperti diperuntukkan dalam Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Comment