Seorang maut dan dua cedera. lori tiga tan terbabas
00:10 Oct 25, 2025  |  By SabahKini2
Seorang maut dan dua cedera. lori tiga tan terbabas

Ketua BBP Sook, PBK I Maimin Yabin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.58 pagi menerusi talian MERS999 sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 60 km.

KENINGAU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Sinaran Kampung Sinaron Tengah, di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, PBK I Maimin Yabin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.58 pagi menerusi talian MERS999 sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 60 kilometer.

Beliau berkata, setibanya pasukan di lokasi pada jam 8.21 pagi, didapati sebuah lori tiga tan terbabas sendiri di bahu jalan.

“Kejadian menyebabkan tiga lelaki dipercayai penumpang tercampak keluar daripada kenderaan berkenaan.

“Dua mangsa mengalami kecederaan manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menurutnya, dua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba dan petugas KKM sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.47 pagi selepas kawasan kejadian dipastikan selamat,” katanya.

Comment