KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner hari ini mengenai kelibat seseorang dipercayai Allahyarham Zara Qairina Mahathir berada di tandas ketika saksi pergi ke tandas yang sama untuk mandi pada jam 2.35 pagi, 16 Julai lalu.
Saksi kanak-kanak ke-22 inkues kematian arwah Zara Qairina itu menyatakan bahawa sudah menjadi kebiasaannya untuk mandi awal pagi di tandas tingkat tiga asrama bagi mengelak kesesakan.
Menceritakan semula keterangan saksi, peguam Joan Goh yang mewakili seorang tertuduh kanak-kanak berkata, ketika masuk ke tandas berkenaan, saksi mendapati ada seseorang berada di dalam tandas nombor satu.
"Saksi ada menolak pintu tandas nombor satu yang sedang bertutup namun pintu itu kembali tertolak dan seolah-olah ada orang di dalam tandas itu yang sedang duduk menyandar di pintu tandas seperti orang yang sedang mengurung diri kerana mempunyai masalah.
"Saksi perasan ada orang dalam tandas itu memakai baju sukan yang sama dengan rumah sukan saksi. Pada masa itu, saksi tidak tahu itu adalah Zara dan saksi tidak nampak muka.
"Saksi juga tidak mendengar apa-apa bunyi dari tandas itu dan dia kemudian masuk ke tandas yang lain. Ketika sedang mandi, saksi terdengar bunyi pintu tandas itu dibuka seperti orang sedang keluar dari tandas itu," katanya selepas selesai prosiding hari ini.
Katanya, selepas selesai mandi, saksi menceritakan bahawa dia perasan pintu tandas pertama itu sudah tidak tertutup dan orang di dalamnya sudah tiada.
"Ketika saksi balik semula ke bilik, saksi menyatakan cuma dengar bunyi tapak kaki di tangga dekat dengan tandas tapi dia tidak nampak sesiapa berada di sekeliling pada masa itu.
"Kemudian saksi masuk semula ke bilik bersiap-siap kemas buku dan sambung tidur pada jam lebih kurang 3 pagi. Saksi menyatakan tidak mendengar apa-apa bunyi selepas itu," katanya.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu, arwah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang di tingkat bawah bangunan asrama, selepas kali terakhir disedari berada di tandas tingkat tiga asrama.
Arwah dilaporkan meninggal dunia sehari selepas itu disebabkan kecederaan otak traumatik teruk dengan kesan hypoxic-iskemik, dipercayai akibat jatuh dari tempat tinggi.
Sementara itu, Joan berkata saksi ke-31 inkues itu menyifatkan arwah Zara Qairina sebagai seorang yang ceria, peramah, sedikit pemarah dan kasar, kelihatan berani dan suka menawarkan diri untuk menolong Badar (Badan Dakwah dan Rohani) seperti mencatit maklumat keuzuran pelajar asrama puteri.
"Saksi menceritakan, Zara tidak disukai segelintir pelajar kerana mereka berasa bosan dan terganggu dengan soalan mengenai berapa hari sudah haid setiap kali pelajar yang uzur dan tidak dapat solat sedang berehat dan tidur di ruang belakang surau.
"Walaupun tingkah laku kurang disenangi segelintir pelajar, tetapi saksi menyatakan bahawa Zara tetap sukarela membantu senior-senior yang bertugas sebagai Badar," katanya.

