BEAUFORT: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Sabah menerima peruntukan sebanyak RM44.42 juta tahun ini, bagi pembangunan seramai 30,228 pekebun kecil getah di seluruh Sabah.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, peruntukan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat Sabah, khususnya di luar bandar.
Menurutnya, daripada RM44.42 juta itu, sebanyak RM6.76 juta diperuntukkan kepada RISDA Daerah Beaufort yang memanfaatkan seramai 4,793 pekebun kecil getah meliputi dua kawasan Parlimen iaitu Beaufort dan Sipitang.
Katanya, bagi seluruh negara, RISDA menerima sebanyak RM440 juta peruntukan keseluruhan tahun ini melalui Belanjawan MADANI 2025 bagi melaksanakan operasi pembangunan komuniti pekebun kecil getah.
Rubiah berkata, peruntukan itu adalah satu amanah besar kepada RISDA dalam memperjuangkan kesejahteraan hidup khususnya komuniti pekebun kecil.
"Komitmen RISDA dalam memperkasa pekebun kecil di Sabah juga terserlah melalui usaha memperkenalkan pendekatan baharu berasaskan inovasi pertanian dan teknologi hijau. Ia termasuklah seperti penggunaan bahan penanaman berkualiti tinggi, teknik lateks pekat dan sistem pengurusan kebun moden.
"Pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil dan kualiti getah, malah mengurangkan kebergantungan kepada perantara. Dalam jangka panjang, usaha sebegini mampu melahirkan komuniti pekebun kecil yang progresif, berdikari dan berorientasikan pasaran global," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Sabah 2025 di Kolej Vokasional Beaufort di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Ahli Parlimen Beaufort yang juga Pengerusi RISDA Semaian dan Landskap Sdn. Bhd. (RSSB) Datuk Siti Aminah Aching dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) RISDA, Haniza Ab Shukor.
Dalam perkembangan sama, Rubiah yakin RISDA dengan sokongan padu KKDW, akan terus membawa pelbagai inisiatif terbaik bagi meningkatkan produktiviti kebun.
Pada masa sama katanya, RISDA juga mampu memperluas peluang ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan sosioekonomi masyarakat desa di Sabah.
"Dalam usaha kerajaan mengangkat martabat serta taraf hidup pekebun kecil getah yang kini berdepan cabaran ekonomi semasa, pelbagai inisiatif sokongan diperkenalkan agar dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh komuniti ini.
"Antara inisiatif yang dilihat berpotensi besar meningkatkan pendapatan ialah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), yang dirangka bagi menggalakkan pekebun kecil menceburi bidang keusahawanan dan aktiviti ekonomi sampingan untuk menjana pendapatan tambahan," katanya.
Menerusi program itu jelasnya, peserta layak menerima geran bantuan sehingga RM20,000, termasuk peralatan, kelengkapan dan input perniagaan dalam empat bidang utama iaitu perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian.
Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan AET juga selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperluas aktiviti ekonomi desa secara mampan.
"Program ini bukan sekadar memberi bantuan kewangan, tetapi turut membuka ruang kepada pekebun kecil untuk menerima bimbingan keusahawanan, latihan pemasaran digital dan pengurusan kewangan mikro.
"Melalui pendekatan menyeluruh ini, peserta bukan sahaja mampu menambah pendapatan, malah berupaya mengembangkan perniagaan mereka sehingga ke peringkat pasaran dalam talian dan antara daerah.
"Inilah matlamat sebenar AET iaitu membina pekebun kecil yang bukan sahaja makmur, tetapi juga berdaya saing dan berdikari," katanya.
Sekitar 45 usahawan pekebun kecil di Beaufort disasarkan mendapat manfaat daripada program AET tahun ini, di bawah seliaan RISDA Daerah Beaufort dengan peruntukan sebanyak RM466,000.
Justeru beliau berharap inisiatif itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima, dalam usaha menggandakan pendapatan dan dalam masa yang sama memberikan kesejahteraan serta kebahagiaan kepada keluarga masing-masing.

