SANDAKAN: Taktik seorang lelaki warga asing menjadikan rumah atas air sebagai stor penyimpanan dadah tumpas selepas diserbu polis dalam operasi di kawasan setinggan Batu 3, di sini, awal pagi tadi.
Dalam serbuan jam 5 pagi itu, suspek berusia 42 tahun ditahan dan polis menemui dadah jenis syabu seberat 1.46 kilogram yang dianggarkan bernilai RM48,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Katanya, operasi dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sebelum itu.
“Suspek dipercayai berperanan sebagai pengedar serta penjaga stor penyimpanan dadah di premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 1,464.4 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.
George berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan polis dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.
“Polis Sandakan akan terus memperhebatkan usaha membanteras jenayah dadah dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu tindakan lanjut,” katanya.

