KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner hari ini mengenai tindakan pelajar junior yang memantau pergerakan Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada malam 15 Julai lalu.
Saksi kanak-kanak ke-27 bagi inkues kematian Zara Qairina itu menyatakan pemantauan itu dibuat ketika beberapa rakan sebiliknya mahu memeriksa barangan arwah. Peguam mewakili ibu arwah diketuai Shahlan Jufri, berkata saksi turut memberitahu mahkamah mengenai arwah yang dipulaukan rakannya pada petang hari sama.
"Pada petang 15 Julai lalu, saksi mengatakan Zara Qairina dipulau dan tidak dilayan oleh rakannya. Pada malam 15 Julai itu pula, beberapa rakan sebilik Zara membuat persiapan untuk melakukan 'spot check' terhadap barangannya.
"Ada pelajar junior yang menjaga pintu untuk memantau pergerakan Zara. Pada malam itu, seorang pelajar junior memberitahu setiap bilik di aras tiga bahawa dia kehilangan kad bank.
"Pelajar itu memberitahu saksi bahawa dia mengesyaki Zara mengambil kad banknya. Pelajar yang sama pernah mendakwa kehilangan dompet, duit dan MyKad sebelum ini, namun kemudian mengaku MyKad itu ditemui semula oleh seorang guru," katanya selepas selesai prosiding, hari ini.
Shahlan berkata, dalam keterangannya, saksi juga mendengar rakan rapatnya mengadu kehilangan wang sebanyak RM21.
Saksi ke-36 inkues itu katanya menjelaskan, selepas arwah Zara Qairina dipanggil pelajar senior ke bilik lain, beberapa pelajar junior melakukan pemeriksaan ke atas almari, beg dan seluar Zara ketika arwah tiada di bilik.
"Saksi menyatakan beg dan almari Zara tidak berkunci pada waktu itu. Dalam 'spot check' itu, dua pin Jalur Gemilang kecil ditemui, seorang pelajar junior mendakwa menjumpainya di beg Zara, manakala satu pin lagi di poket seluar Zara.
"Wang tunai RM21 turut dijumpai dalam dompet Zara. Pelajar junior yang kehilangan wang mendakwa itu miliknya kerana keadaan lipatan wang itu 'seakan sama'," katanya.
Saksi juga katanya, memberitahu mahkamah mengenai penemuan helaian kertas seperti surat dalam beg arwah Zara dan diserahkan kepada pelajar senior untuk membacanya.
Bagaimanapun, katanya, saksi tidak pasti isi penuh surat itu tetapi dia mengaku diberitahu ia berbentuk surat peribadi.
Selepas itu, katanya, saksi melihat Zara Qairina berlari masuk ke bilik sambil menangis dan mendengarnya menjerit 'aku nda curi bah, sial' sambil baring di lantai berhadapan almari.
"Saksi juga berkata arwah Zara tidak tahu beg dan almarinya diselongkar ketika ketiadaannya di bilik.
"Saksi menyatakan ia kali pertama melihat Zara berkeadaan sebegitu dan semasa Zara menangis, saksi juga mendengar seorang pelajar junior berkata kepada semua ahli bilik, 'semua Zara 'batch' kita ni ada problem'.
"Saksi kemudian tidur dan tidak mengetahui apa yang berlaku selepas itu," katanya. Sementara itu, prosiding inkues dijadual bersambung semula pada 5 November ini.

