Marititm Malaysia gagalkan cubaan 10 PTI seludup masuk Sabah
00:11 Nov 03, 2025  |  By SabahKini2
Marititm Malaysia gagalkan cubaan 10 PTI seludup masuk Sabah

Dalam kejadian kira-kira lapan batu nautika barat laut Tanjung Simpang Mengayau, bot berkenaan dikesan melalui Sistem Pengawasan Laut Sabah (SWASLA) sebelum aset Zon Maritim Kudat digerakkan ke lokasi bagi pemeriksaan.

KUDAT: Cubaan sekumpulan pendatang tanpa izin (PTI) menyelinap masuk ke negeri ini menggunakan laluan tikus gagal selepas bot dinaiki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Dalam kejadian kira-kira lapan batu nautika barat laut Tanjung Simpang Mengayau, bot berkenaan dikesan melalui Sistem Pengawasan Laut Sabah (SWASLA) sebelum aset Zon Maritim Kudat digerakkan ke lokasi bagi pemeriksaan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, berkata hasil pemeriksaan mendapati bot itu tidak mempunyai nombor pendaftaran dan semua 10 penumpangnya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka disyaki cuba menyelinap masuk ke perairan negara menggunakan laluan tidak sah. Tindakan pantas anggota operasi berjaya menggagalkan cubaan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua PTI terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Hasbullah berkata, pihaknya akan terus mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara, khususnya di kawasan sempadan maritim Sabah, bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta kemasukan PTI.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya tidak bersekongkol atau melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah maritim, selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Comment