Tiada 'free for all', GRS masih kerjasama dengan PH - Hajiji
23:11 Nov 03, 2025  |  By SabahKini2
Tiada 'free for all', GRS masih kerjasama dengan PH - Hajiji

Beliau mengulas mengenai perjanjian itu susulan pengumuman awal calon oleh parti komponen PH, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), yang dijangka bertembung di beberapa kerusi seperti Limbahau, Kiulu dan Tamparuli.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibarisi enam parti menafikan dakwaan kononnya akan bertanding sendirian di semua kerusi atau 'free for all' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRU17).

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan perkara itu tidak berlaku kerana GRS masih lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Saya tidak fikir begitu (bahawa GRS akan bertanding secara bersendirian). Kami masih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Untuk isu calon, saya rasa semuanya telah diselesaikan, walaupun ada sedikit pertindihan (antara GRS dan PH)," katanya selepas menyampaikan surat pelantikan kepada 42 belia Sabah yang menyertai program SMJ Fellowship 4.0 di Menara Kinabalu, di sini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, memberi bayangan bahawa keadaan 'free for all' mungkin berlaku dalam PRN Sabah pada 29 November ini, sekiranya rakan gabungan dalam PH gagal mematuhi perjanjian antara GRS dan PH.

Beliau mengulas mengenai perjanjian itu susulan pengumuman awal calon oleh parti komponen PH, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), yang dijangka bertembung di beberapa kerusi seperti Limbahau, Kiulu dan Tamparuli.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah memaklumkan bahawa beberapa ahli yang gagal dipilih sebagai calon untuk PRN Sabah sudah menyertai parti lain, dengan menyifatkan tindakan sedemikian sebagai bukan semangat seorang pemimpin atau pejuang sejati.

"Mereka yang terlalu ghairah melobi, jangan berlebihan. Itu terpulang kepada presiden parti atau pengerusi GRS untuk membuat keputusan (pemilihan sebagai calon).

"Kita bukan menyingkirkan mereka, (tetapi) mereka sendiri yang menjauhkan diri daripada gabungan. Mereka yang tidak dipilih sebagai calon keluar atas kehendak sendiri.

"Ada yang hanya fikir soal pencalonan, jadi apabila tidak terpilih, mereka keluar. Saya harap parti-parti lain berfikir masak-masak sebelum menerima mereka," katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata GRS akan mengumumkan senarai calonnya sama ada pada 11 atau 12 November depanb, manakala manifesto akan dilancarkan selepas hari penamaan calon pada 15 November.

Comment