KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, mengenai penemuan dua diari milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dijumpai dalam beg di almari arwah pada 16 Julai lalu.
Saksi kanak-kanak ke-37 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir itu mengaku menawarkan diri mencari diari arwah selepas diminta oleh guru pada pagi 16 Julai lalu selepas arwah ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama.
Menceritakan semula keterangan saksi, pasukan peguam mewakili ibu arwah yang diketuai Shahlan Jufri berkata, sebelum itu beberapa pelajar memberitahu guru mengenai diari yang ditulis arwah Zara Qairina ketika mereka berkumpul di surau.
"Pada 16 Julai lalu, lebih kurang jam 11.15 pagi, saksi bersama beberapa orang pelajar senior dan junior berkumpul di surau bersama beberapa orang guru iaitu Cikgu Yuslina, Cikgu Fatimah, Cikgu Dayang Azirah dan Cikgu Gloria.
"Pada ketika itu, saksi mendengar beberapa pelajar memberitahu cikgu bahawa Zara menulis dan menyimpan buku diari, tetapi apabila cikgu meminta pelajar mencari buku itu, tiada pelajar yang berani menawarkan diri.
"Melihat keadaan itu, saksi menawarkan diri untuk membantu mencari buku diari milik Zara. Selepas itu, saksi bersama Cikgu Gloria pergi ke blok asrama Zara dan saksi naik sendirian ke bilik asrama Zara, manakala Cikgu Gloria menunggu di bawah.
"Apabila berada di dalam bilik Zara, saksi cuba membuka beberapa almari pelajar, tapi semua almari berkunci, kecuali satu almari yang dipercayai milik Zara. Saksi membuka almari dan mengecam ada baju bergantung dalam almari dengan tanda nama Zara," katanya selepas prosiding hari ini.
Selepas menemui almari arwah Zara Qairina, katanya saksi memeriksa satu beg sekolah warna hitam dan menjumpai dua buku diari dalam poket besar beg berkenaan.
Katanya, saksi memberitahu mahkamah buku diari yang dijumpainya masing-masing berwarna hijau yang tertulis 'Love & Peace' dan buku berwarna ungu bertulis 'Simple Style'.
"Saksi menyatakan ketika itu dia seorang saja ada bilik asrama arwah Zara Qairina dan mengakui sempat membelek kedua-dua buku diari itu tetapi tidak membacanya dengan teliti.
"Saksi kemudian turun dan bergerak balik ke surau bersama Cikgu Gloria. Apabila di surau, saksi menyatakan dia menyerahkan buku-buku itu kepada Cikgu Yuslina. Saksi berkata dia nampak Cikgu Yuslina membaca sebahagian kandungan buku itu di hadapan pelajar lain sebelum menyimpannya," katanya.
Bagaimanapun, katanya saksi mengaku tidak tahu tujuan sebenar mereka diminta mencari diari arwah Zara Qairina dan dia tidak mengetahui atau ingat sama ada Zara menulis sebarang nota khusus di dalamnya.
Sementara itu, peguam ibu arwah Zara Qairina berkata, saksi adalah seorang ahli kumpulan pelajar Circle Nineteen tetapi mengaku tidak mempunyai konflik dengan arwah.
"Saksi menggambarkan Zara sebagai seorang pelajar periang, sopan dan menghormati senior. Saksi tidak pernah melihat Zara murung, marah, atau mempunyai masalah dengan pelajar lain.
"Saksi juga memberitahu mahkamah bahawa dia pernah bercakap dengan Zara di sekolah untuk menyampaikan pesanan daripada seorang kawan Zara dari sekolah lain yang menghubunginya melalui aplikasi TikTok.
"Menurut saksi, kawan Zara ada meminta saksi memberitahu Zara dan menasihati pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 supaya berhenti menyindir Zara," katanya.
Bagaimanapun, katanya saksi tidak ingat tarikh perbualan itu dan tidak menyebut nama pelajar yang terbabit, manakala arwah Zara hanya menjawab 'ndatau' (tidak tahu) apabila saksi bercakap perkara itu kepada arwah.

