KOTA KINABALU: Operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa di Sabah membawa kepada penahanan 24 individu dan rampasan barangan bernilai lebih RM21 juta, termasuk ayam beku dan ayam sabung, semalam.
Operasi selama tiga jam bermula jam 9 pagi itu dijalankan secara serentak di 15 lokasi di lapan daerah, antaranya Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Tawau, Beluran, Keningau, Lahad Datu dan Semporna.
Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil risikan mendapati wujud rangkaian penyeludupan ayam beku dan ayam sabung yang aktif menjalankan kegiatan haram di beberapa kawasan tumpuan negeri ini.
Katanya, seramai 24 individu tempatan berusia antara 18 hingga 61 tahun terdiri daripada 17 lelaki dan tujuh wanita, ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Turut dirampas barangan dianggarkan bernilai RM21.76 juta termasuk ayam beku, peralatan penyimpanan dan barangan lain yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti penyeludupan,” katanya pada sidang media di PGA Sabah, Kinarut.
Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut pelbagai peruntukan undang-undang antaranya Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983 dan Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948.
Nor Omar menegaskan PGA Briged Sabah akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan ekonomi serta berisiko terhadap keselamatan dan kesihatan awam.
“Kerjasama orang ramai amat penting dalam menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan seperti ini,” katanya.
Operasi turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

