TAWAU: Lapan sekeluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Kampung Sungai Gading Batu 15, di sini, dinaiki air akibat banjir, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi, air mula melimpah masuk ke kawasan rumah mereka selepas hujan lebat berterusan sejak awal pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai pada jam 8.35 pagi.
Katanya, tujuh anggota bersama dua jentera dan sebuah bot digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 29 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setiba di lokasi pada jam 9.21 pagi, pasukan mendapati lapan mangsa daripada satu keluarga terperangkap di kawasan rumah yang dinaiki air.
“Pasukan bomba segera melaksanakan operasi pemindahan menggunakan bot dan membawa semua mangsa ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa termasuk dua wanita dewasa serta enam kanak-kanak berpindah sementara ke rumah keluarga terdekat.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan semua mangsa kini berada dalam keadaan selamat.
“Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.20 pagi selepas keadaan di lokasi terkawal,” katanya.

