KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menegaskan bahawa tuduhan kononnya berlaku salah guna kuasa melibatkan pengurusan Tabung Zakat yang kembali tular di media sosial baru-baru ini adalah fitnah lama yang tidak berasas sama sekali.
Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin, berkata dakwaan itu bukan perkara baharu dan telah pun disiasat oleh pihak berkuasa sebelum ini termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara.
“Sejak awal isu ini timbul, ia mendapat perhatian Ketua Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama. Arahan siasatan menyeluruh telah pun diberikan, dan hasilnya tiada sebarang unsur salah laku ditemui terhadap mana-mana pegawai MUIS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, MUIS juga telah mengambil tindakan saman fitnah terhadap individu yang menyebarkan tuduhan berkenaan, dan kini prosiding kes tersebut masih berjalan di mahkamah.
Beliau berkata, MUIS sentiasa komited untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan dana zakat serta semua urusan kewangan di bawah seliaan institusi itu.
“SPRM telah menyiasat keseluruhan akaun kewangan MUIS termasuk Tabung Zakat, manakala Jabatan Audit Negara pula menjalankan audit menyeluruh setiap tahun.
“Hasilnya, MUIS berjaya menerima Sijil Tanpa Teguran selama lima tahun berturut-turut, membuktikan pengurusan kewangan kami telus, berhemah dan mematuhi piawaian perakaunan serta enakmen berkaitan,” katanya
Yahya berkata, MUIS turut berjaya memperoleh Pensijilan Antarabangsa MS ISO 9001:2015 sejak tahun 2021 sebagai pengiktirafan terhadap sistem kerja yang profesional dan sistematik.
Katanya, selain itu, pihaknya kini dalam peringkat akhir untuk memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016, sebagai langkah memperkukuh usaha membanteras sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
“Langkah ini membuktikan kesungguhan MUIS memastikan tadbir urusnya kekal bersih, berintegriti dan bebas daripada rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, Yahya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menyebarkan fitnah yang berpotensi menjejaskan imej institusi Islam itu.
“Tohmahan seperti ini hanya akan mengelirukan masyarakat dan meruntuhkan kepercayaan terhadap institusi agama. MUIS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat menjejaskan nama baik dan maruah institusi ini,” katanya.
Yahya turut menegaskan bahawa MUIS akan terus berpegang kepada prinsip amanah dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab memperkasa umat Islam dan menjaga kebajikan asnaf di Sabah.

