Kanak-kanak tersepit di mesin penghantar bagasi di KKIA
15:11 Nov 06, 2025  |  By SabahKini2
Kanak-kanak tersepit di mesin penghantar bagasi di KKIA

Dalam kejadian 9.30 malam itu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan tersepit pada mesin penghantar bagasi itu, manakala kakaknya berusia tiga tahun pula terdedah kepada radiasi alat berkenaan.

KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak terselamat selepas terbabit dalam insiden membabitkan mesin penghantar bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan tersepit pada mesin penghantar bagasi itu, manakala kakaknya berusia tiga tahun pula terdedah kepada radiasi alat berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Mohd Hannis Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 9.52 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati dua kanak-kanak dipercayai memasuki kawasan mesin penghantar bagasi di ruang pemeriksaan KKIA.

"Kami bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Kedua kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke Hospital Likas bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kedua mangsa dilaporkan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 10.20 malam selepas dipastikan tiada lagi risiko di lokasi.

Sehubungan itu, Mohd Hannis menasihati orang awam, khususnya ibu bapa, agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak di kawasan awam bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

Comment