Sabah warta 40,000 ekar tanah SFI jadi rizab kampung
00:11 Nov 10, 2025  |  By SabahKini2
Sabah warta 40,000 ekar tanah SFI jadi rizab kampung

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pewartaan itu membuktikan kerajaan peka terhadap keperluan rakyat khususnya di luar bandar yang memerlukan tanah untuk penempatan dan pembangunan komuniti.

TENOM: Kerajaan Negeri mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeri daripada kawasan konsesi Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan rizab kampung bagi manfaat rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pewartaan itu membuktikan kerajaan peka terhadap keperluan rakyat khususnya di luar bandar yang memerlukan tanah untuk penempatan dan pembangunan komuniti.

“Kerajaan negeri telah mewartakan rizab kampung ini sebagai bukti keprihatinan terhadap rakyat. Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu, lebih 40,000 ekar tanah kerajaan daripada SFI telah diluluskan untuk tujuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kemabong di Dataran Daerah Kecil Kemabong, di sini, semalam.

Hajiji berkata, di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan GRS, tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga telah diperuntukkan kepada rakyat.

“Kita mahu rakyat hidup selesa. Di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), salah satu tonggaknya ialah kemakmuran rakyat, sebab itu kita utamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat turut membuahkan hasil apabila jumlah penerima bantuan kebajikan meningkat lebih dua kali ganda.

“Sebelum ini hanya sekitar 30,000 orang tersenarai sebagai penerima bantuan kebajikan, namun di bawah kerajaan negeri sekarang, jumlah itu meningkat kepada 70,000 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan bahawa Sabah kini memperoleh banyak manfaat hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS.

Menurutnya, Sabah kini mempunyai suara yang lebih besar dan penglibatan yang lebih luas dalam industri minyak dan gas negara.

“Dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), kini terdapat lebih 80 vendor tempatan terlibat berbanding hanya 10 pada tahun 2022. Mereka kini menguasai 36 peratus daripada pasaran kontrak,” katanya.

Menegaskan pendirian kerajaan GRS, Hajiji berkata, pihaknya tidak bermain politik dendam seperti pembangkang, sebaliknya menumpukan kepada pembangunan negeri melalui Hala Tuju SMJ 1.0.

“Jika rakyat memberikan semula mandat kepada GRS, kita akan meneruskan pembangunan di bawah Hala Tuju SMJ 2.0. Kita tidak bermain politik dan tidak membuat janji kosong. Kita mempunyai agenda pembangunan, sedangkan pembangkang sanggup berjanji bulan dan bintang,” katanya.

Dalam majlis sama, Hajiji turut mengesahkan Datuk Rubin Balang sebagai calon GRS bagi kerusi DUN Kemabong pada Pilihan Raya Negeri ke-17 yang dijadual berlangsung 29 November ini.

“Dengan jentera yang kukuh dan sokongan padu daripada pengundi di Kemabong, insya-Allah Datuk Rubin Balang akan sekali lagi memenangi pilihan raya ini,” katanya.

Comment