KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata gabungan politik itu akan mempertaruhkan 23 calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Dalam kalangan parti komponen PH, DAP sudahpun mengumumkan bakal bertanding lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya kali ini, manakala AMANAH akan bersaing di kerusi DUN Sulabayan.
Setakat ini, masih belum jelas sama ada sebuah lagi parti komponen, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang diterajui oleh Datuk Ewon Benedick, akan bertanding bersama-sama PH.
Sabtu lalu, Ewon mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Berucap sebelum mengumumkan calon PKR untuk PRN17 Sabah, di sini, malam ini, Anwar menegaskan PKR bertanggungjawab mempertahankan masa depan rakyat.
"Kita kena ingat, semua orang ada kelemahan masing-masing. Namun, kita mengorak langkah baharu. We want to build a new Sabah. A Sabah that is truly independent. (Kita mahu membina Sabah yang baharu. Sabah yang benar-benar merdeka).
"Kita akan menggunakan sumber kita untuk menghentikan mismanagement (salah urus), penyalahgunaan kuasa dan rasuah," katanya.
Berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perdana Menteri berkata, perkembangan perkara itu tidak berlaku dalam masa semalaman dan perbincangan diteruskan.

1 