Sabah catat KDNK tertinggi pasca COVID-19 pada 2024 berjumlah RM84.30 bilion
20:11 Nov 11, 2025  |  By SabahKini2
Sabah catat KDNK tertinggi pasca COVID-19 pada 2024 berjumlah RM84.30 bilion

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan dasar fiskal kerajaan negeri, khususnya dari segi pengurusan hasil yang berhemat serta sistem kutipan yang efisien.

KOTA KINABALU: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah meningkat daripada RM77.80 bilion pada 2020 kepada RM84.30 bilion pada 2024 iaitu mencatat tahap tertinggi pasca pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan dasar fiskal kerajaan negeri, khususnya dari segi pengurusan hasil yang berhemat serta sistem kutipan yang efisien.

“Ia menunjukkan daya tahan ekonomi negeri walaupun berhadapan dengan persekitaran ekonomi global yang mencabar disebabkan ketegangan geopolitik, ketidaktentuan pasaran komoditi dan kelembapan ekonomi antarabangsa.

“Bagi tahun 2025 dan 2026, momentum pertumbuhan negeri dijangka terus mengukuh melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi, dengan unjuran peningkatan sekitar 1.5 hingga 2 peratus,” katanya pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Katanya, kerajaan negeri turut berjaya mengawal kadar inflasi secara tersusun di mana kadar inflasi Sabah pada tahun 2024 adalah 1.2 peratus, lebih rendah berbanding kadar inflasi nasional sebanyak 1.8 peratus.

“Pencapaian itu juga hasil inisiatif rangsangan kerajaan seperti pakej Skim Pinjaman Kredit Mikro yang memberi manfaat kepada usahawan kecil dan sederhana dengan jumlah pinjaman bernilai RM2.37 juta kepada 1,210 permohonan setakat ini.

“Melangkah ke Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang akan bermula 2026 hingga 2030, Sabah kekal antara negeri penerima peruntukan pembangunan tertinggi sebanyak RM6.9 bilion bagi 2026, dijangka mempercepat pertumbuhan sosioekonomi negeri.

“Kabinet Negeri Sabah pada 4 Jun 2025 meluluskan siling perbelanjaan pembangunan di bawah RMK13 sebanyak RM12.02 bilion yang merangkumi 1,173 program dan projek pembangunan iaitu jumlah peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan membangunkan polisi Amalan Baik Peraturan untuk meningkatkan kualiti peraturan dan menghapuskan peraturan tidak efektif yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. 

“Sepanjang lima tahun lalu, sebanyak 48 Rang Undang-Undang (RUU) pindaan dan baharu diperkenal bagi mencapai objektif terbabit.

“Bagi memperkukuh integriti, Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) ditubuhkan pada 26 Julai 2022 untuk memantau pematuhan integriti dalam pentadbiran negeri.

“Pendigitalan perkhidmatan menjadi teras penyampaian yang lebih efektif dan efisien dengan pembangunan Sabah Data Integration and Interchange Platform (Sabah DIIP) di bawah Pelan Strategik Pendigitalan Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga mencatatkan lebih 10,000 akaun aktif platform Google Workspace untuk kakitangan kerajaan bagi meningkatkan kesalinghubungan dan produktiviti penjawat awam. 

“Sehingga kini, 290 projek sistem aplikasi dibangunkan dan dilaksanakan di seluruh negeri manakala 53 projek pendigitalan perkhidmatan awam giat dilaksanakan.

“Dalam tempoh lima tahun memimpin kerajaan negeri, pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0 merangkumi pelbagai sektor ekonomi dan mencatat kemajuan serta kejayaan melebihi jangkaan. Dalam sektor pertanian, pelaburan bernilai RM620 juta direkodkan dalam penanaman kelapa dan industri hiliran oleh syarikat Linaco Resources Sdn Bhd,” katanya.

Katanya, pelaburan negeri Sabah menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kerajaan dengan kapasiti perkhidmatan awam sebagai pemboleh daya. 

“Sejak 2021 hingga suku kedua tahun ini, sektor pembuatan mencatat kemasukan pelaburan berjumlah RM24.9 bilion daripada 87 pelabur asing dan domestik. Antara pelaburan bernilai tinggi ialah RM4.29 bilion oleh syarikat SK Nexilis, RM3.43 bilion oleh SBH Kibing Solar, dan tiga fasa pelaburan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd dengan Fasa 1 bernilai RM6.59 bilion.

“PETRONAS juga membuka operasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), membuktikan pelaburan bukan sahaja tertumpu pada domestik tetapi juga pelabur antarabangsa,” katanya.

Hajiji berkata, pelaburan ini membuka peluang pekerjaan kepada lebih 38,000 anak Sabah.

“Dalam sektor minyak dan gas, persepakatan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara kerajaan negeri dan PETRONAS pada 7 Disember 2021 menandakan era baharu penglibatan Sabah dalam industri berkenaan.

“Sabah Energy Corporation (SEC) dilantik sebagai pembekal dan pengangkut gas utama dengan kapasiti gas domestik melebihi 250 juta kaki padu sehari, menjana hasil industri melebihi RM2.5 bilion setahun, antara penyumbang utama hasil negeri.

“SMJ Energy Sdn Bhd, syarikat milik penuh kerajaan Sabah, melonjak nilai kepada RM5 bilion dalam tempoh tiga tahun dengan aset RM4.9 bilion dan keuntungan RM307 juta,” katanya.

Beliau berkata, dalam sektor pelancongan, Sabah merekodkan 10.67 juta pelancong dengan jumlah perbelanjaan RM23.42 bilion dari 2021 hingga 2025.

“Pembangunan pelancongan oleh syarikat ternama termasuk Hotel Sheraton Kota Kinabalu, Club Med Borneo Kuala Penyu, Inter-Continental Hotel Papar, Hilton Garden Inn Resort Tuaran, Hotel Hyatt Centric Kota Kinabalu dan Hotel Citadines Waterfront Kota Kinabalu.

“Peningkatan 207 penerbangan domestik dan 126 penerbangan antarabangsa di KKIA setiap minggu menunjukkan Sabah terus menjadi destinasi pilihan pelancong, terutamanya dari Brunei, China, Indonesia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Vietnam.

“Sektor pelancongan membuka peluang pekerjaan kepada lebih 360,000 orang sejak 2023 melalui pemeliharaan tapak bersejarah, naiktaraf fasiliti rekreasi dan pengindahan bandar yang turut dinikmati masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan konsisten menjamin peluang pendidikan anak Sabah untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dengan peruntukan tabung pendidikan melonjak kepada RM1.02 bilion dalam lima tahun.

“Peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah meningkat tiga kali ganda pada tahun ini dengan jumlah RM145 juta dan manfaat kepada 12,763 pelajar. Kerajaan juga menawarkan biasiswa kepada 37 pelajar berkelayakan selepas pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC),” katanya.

Sementara itu katanya, untuk infrastruktur, kerajaan memperuntukkan RM4.89 bilion khusus bagi pengurusan jalan raya sepanjang 22,858 kilometer pada tahun lalu berbanding 21,876 kilometer pada 2021.

“Bagi mengatasi masalah bekalan air, jumlah Loji Rawatan Air meningkat kepada 90 buah pada 2024 berbanding 85 pada 2021 dengan kapasiti pengeluaran meningkat daripada 1,505 juta liter sehari kepada 1,630 juta liter sehari.

“Beberapa projek penting seperti Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II, Naik Taraf Loji Rawatan Air Beluran, Kanibongan dan Kasigui Urgent Water Supply Scheme (UWSS) sedang giat dilaksanakan dengan 18 projek bakal siap tahun depan membabitkan pembiayaan RM320.25 juta daripada kerajaan Persekutuan.

“Majlis Tenaga Negeri Sabah meluluskan 11 projek melibatkan kapasiti 1,219 megawatt yang dijangka siap menjelang 2031 bagi menjamin bekalan elektrik mencukupi,” katanya.

Comment