KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Robert Tawik, menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang disifatkannya sebagai pemimpin berwawasan dan berjiwa rakyat.
Robert berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, semalam.
“Tujuan saya tidak lain adalah untuk menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Hajiji yang sentiasa berusaha membawa kestabilan dan kemajuan untuk Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor supaya terus bersatu dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-17.
“Saya menyeru semua rakyat, khususnya di kawasan DUN Bingkor, supaya terus bersama dan menyokong calon GRS yang akan diumumkan esok,” katanya.
Menurutnya, kestabilan politik merupakan asas kepada kemajuan Sabah dan hanya dapat dicapai melalui perpaduan rakyat di bawah satu gabungan yang kukuh serta berpaksikan kepentingan negeri.
Sebagai penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk atas sokongan berterusan yang diberikan, sambil menegaskan usaha membangunkan kawasan luar bandar serta menjaga kebajikan rakyat akan diteruskan.
“Terima kasih kepada semua rakyat Bingkor yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan kepercayaan. Bersama kita pastikan suara rakyat Bingkor terus kuat, dan perjuangan untuk Sabah terus maju ke hadapan,” katanya.
Robert menegaskan perjuangan GRS bukan sekadar politik, tetapi fokus kepada masa depan rakyat dan pembangunan negeri Sabah secara keseluruhan.

