KUALA LUMPUR: Status kerajaan Sabah sebagai caretaker' atau kerajaan sementara ketika ini tidak menghalang rundingan berkaitan Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil diperoleh dari wilayah itu diadakan bersama Kerajaan Persekutuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, Perdana Menteri berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican sudah mengutus surat kepada Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Safar Utong bagi tujuan itu, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata rundingan berkenaan akan dibuat bagi perihal teknikal dan perkara berbangkit, sementara menunggu pembentukan kerajaan negeri yang baharu seusai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
"Kerajaan Persekutuan tidak mahu dianggap melengah-lengahkan (rundingan). Proses ini sudah berjalan. Sekarang sekurang-kurangnya Johan (sudah) menulis kepada Safar, mengatakan boleh mula runding soal teknikal termasuk perkara yang disebut dalam penghakiman.
"Kemudian dalam jawatankuasa teknikal tentunya dibincangkan untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri, tentunya tunggu sehingga selesai PRN dan kerajaan baharu dibentuk.
"Namun, saya tidak fikir ia (PRN Sabah) menghalang perbincangan teknikal terlebih dahulu untuk memudahkan perundingan," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai status rundingan perkara itu memandangkan Sabah ketika ini sedang berdepan PRN.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan proses rundingan atau penyelesaian masalah mahupun pertikaian yang timbul dalam isu Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah perlu dibuat berpaksikan semangat kesatuan dan perpaduan sebagai sebuah negara.
Beliau berkata, tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah menjaga hubungan baik dengan negeri, selain berusaha menyelesaikan sebarang pertikaian yang timbul.
"Kalau ada kegelisahan munasabah (dari negeri), kita harus dengar dan cuba selesaikan. Ada pihak lebih rasional yang sedia mengatur rundingan.
"Sebab ini, kalau menjawab... rundingan boleh diadakan apabila ada hubungan baik... kalau boleh saya sambung... cari kerajaan negeri yang ambil sikap yang agak lebih positif, jadi proses akan lebih cepat dan baik.
"Saya harap semangat kesatuan (dan) perpaduan dijaga, kerana kalau kita tiupkan isu menghasut dan perkauman sempit bakal merugikan. Yang untung hanya kepala di atas (tetapi) rakyat bertempur tanpa air, tanpa elektrik dan jalan berlubang," katanya.

