Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah tiada kaitan peruntukan lain dalam belanjawan – PM Anwar
19:11 Nov 13, 2025  |  By SabahKini2
Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah tiada kaitan peruntukan lain dalam belanjawan – PM Anwar

Bercakap pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata ini kerana proses perangkaan belanjawan dibuat berpandukan peruntukan tetap mengikut tiga jadual berasingan iaitu Persekutuan, Negeri dan Bersama.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil diperoleh dari Sabah dibuat secara berasingan berbanding peruntukan lain dalam dokumen belanjawan yang diterima wilayah itu.

Bercakap pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata ini kerana proses perangkaan belanjawan dibuat berpandukan peruntukan tetap mengikut tiga jadual berasingan iaitu Persekutuan, Negeri dan Bersama.

"Tetapi yang kita lakukan ini (dalam Belanjawan 2026) banyaknya lebih daripada itu (melangkaui peruntukan tetap)... seperti saya sebut tadi, elektrik, projek Lebuhraya Pan Borneo serta saluran dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Ini saja sudah RM7 bilion hingga RM8 bilion. Jadi kalau memikirkan keperluan 40 peratus (pemberian khas), tentu kita kena lihat belanjawan secara keseluruhannya.

"Sebab ini rundingan penting supaya kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat menerimanya mengikut Jadual negeri atau tanggungjawab Persekutuan. Jadi bila ini diputuskan, kita boleh kira bagaimana 40 peratus itu," katanya yang juga Menteri Kewangan itu.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada pemberian khas itu ada hubungan silang dengan peruntukan lain diterima Sabah, serta takrif hasil bersih yang menjadi hak wilayah berkenaan.

Mengenai takrif hasil, Perdana Menteri berkata setakat disediakan Kementerian Kewangan, sebahagiannya membabitkan termasuk cukai langsung, cukai tak langsung, hasil bukan cukai dan hasil petroleum.

Beliau dalam pada itu menyanggah dakwaan pembahagian hasil petroleum dibuat berdasarkan perkiraan 95 peratus diberikan kepada Kerajaan Persekutuan, manakala bakinya untuk kerajaan negeri.

"Ini tak betul. Perkiraan ini tak tepat kerana ada (aspek) pelaburan, hutang dan kerjasama dengan PETRONAS. Namun, kita terbuka untuk membuka maklumat bagi rundingan. Berapa cukai langsung (bagi Sabah)... umpamanya pada 2024 (bernilai) RM58 bilion, manakala cukai tidak langsung pula RM1.5 bilion. Itu semua dimasukkan (dalam perkiraan).

"(Perincian) perbelanjaan juga kita sediakan. Umpamanya perbelanjaan RM17 bilion daripada mana... ia pertambahan. Dari 2021, kalau Yang Berhormat ingat, RM12 bilion diperuntukkan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah," katanya.

Perdana Menteri berkata, perbelanjaan diperuntukkan bagi Sabah kemudian meningkat kepada RM17.3 bilion pada 2025, diikuti RM17.6 bilion untuk tahun hadapan, jumlah tertinggi diberikan terhadap wilayah itu.

"Ini termasuk bagi mengurus agensi Persekutuan, pembangunan, pemberian khas kepada negeri dan tambahan seperti disenaraikan sebentar tadi, iaitu RM17.5 bilion.

"Jadi apakah takrif hasil bersih - ia masih dalam rundingan. Namun, saya setuju dengan pandangan Sabah (pemberian khas) 40 peratus ini mesti daripada hasil yang tak mengambil kira tanggungjawab langsung kerajaan.

"Namun saya mahu bezakan... terpulang kepada semangat rundingan antara negeri dan Persekutuan, cara baik serta semangat muafakat," katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Comment