PM tolak dakwaan guna kemudahan kerajaan untuk kempen PRN17 Sabah
22:11 Nov 18, 2025  |  By SabahKini2
PM tolak dakwaan guna kemudahan kerajaan untuk kempen PRN17 Sabah

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program dihadirinya di Sabah adalah program kerajaan yang sudah dijadualkan lebih awal, sementara sebarang aktiviti kempen dilakukan sepenuhnya di bawah platform parti.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa dirinya menggunakan harta dan kemudahan kerajaan bagi tujuan kempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program dihadirinya di Sabah adalah program kerajaan yang sudah dijadualkan lebih awal, sementara sebarang aktiviti kempen dilakukan sepenuhnya di bawah platform parti.

"Namun begitu, saya diberi kelonggaran untuk menggunakan mobil (kenderaan) kerajaan. (Ini kerana) Perdana Menteri mesti guna pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi atas pertimbangan keselamatan.

"Dalam peraturan kerajaan, memang seorang Perdana Menteri itu selayaknya menggunakan (kemudahan tertentu). Kerana ini soal keselamatan yang di luar pertimbangan saya.

"Tapi program kempen tidak ada program kerajaan. Saya melarang. Ada satu program bersama mahasiswa, iaitu Temu Anwar dan dibuat di universiti.

"Saya batalkan dan tukar tempat. Ini kerana saya tidak mahu universiti secara rasmi terbabit menganjurkan program Anwar untuk bertemu dengan anak muda," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN) yang mempertikai tindakan Anwar menggunakan aset kerajaan untuk berkempen dalam PRN Sabah.

Sementara itu, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan mengenai tindakan Setiausaha Politik Anwar yang mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, daripada enam kontraktor yang disenaraikan dalam surat sokongan berkenaan hanya dua mempunyai kelayakan.

Menjawab persoalan berkenaan, Anwar memaklumkan sudah menegur pegawainya secara tegas bahawa secara prinsip tindakan itu tidak boleh dilakukan.

"(Berkenaan) sokongan setiausaha politik saya, saya beri teguran keras kerana peraturan tidak membolehkan kita lakukan. Kalau saya terima surat, saya akan kata teliti, tidak boleh buat surat sokongan," katanya.

Comment