KOTA KINABALU: Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diluncurkan semalam, menetap tekad jelas serta komitmen berterusan gabungan itu untuk mengukuhkan momentum meningkatkan pendapatan negeri serta pendayaupayaan sosioekonomi untuk rakyat.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Ali, berkata manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dibentang untuk penelitian rakyat negeri ini, turut merekodkan bentuk pencapaian yang sudah diraih kerajaan negeri sepanjang tempoh lima tahun mentadbir.
Beliau berkata, manifesto berteraskan satu Gagasan, iaitu 'Rumah Kita, Kita Jaga' adalah penerus kepada agenda kerajaan GRS melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 yang bermula 2021 hingga tahun ini.
"Jumlah hasil pendapatan negeri menunjukkan momentum peningkatan positif sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan GRS dengan kali pertama menembusi paras RM5 bilion pada 2021 selepas berbelas tahun berada pada sekitar di antara RM3 bilion dan RM4 bilion di bawah pentadbiran kerajaan yang lalu.
"Peningkatan bermula RM5.45 bilion pada 2021; RM6.96 bilion pada 2022; RM6.97 bilion pada 2023 dan RM6.84 bilion pada 2024," katanya pada sidang media sempena pelancaran Manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.
Pelancaran manifesto GRS itu disempurnakan Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, yang dihadiri pemimpin utama parti komponen serta calon GRS yang bertanding 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.
Bertemakan 'Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan', Gagasan ini dipacu melalui empat rukun merangkumi Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Maju ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah Bersatu).
Empat rukun ini kemudian diterjemahkan melalui 16 strategi mencakupi pelbagai agenda pembangunan merentasi pelbagai bidang. Armizan berkata, antara strategi yang digariskan dalam memperkukuh momentum peningkatan pendapatan negeri adalah ketegasan memperjuangkan hak Sabah melalui MA63, termasuk hak 40 peratus pemberian khas.
Selain itu katanya, pengukuhan sumber ekonomi dan penerokaan potensi ekonomi baharu serta reformasi undang-undang dan institusi untuk memperkukuh persekitaran kondusif dan tadbir urus yang baik.
"Manifesto GRS juga menekankan strategi berorientasikan pengukuhan momentum pendayaupayaan sosioekonomi rakyat seperti pembangunan modal insan, penyelesaian isu infrastruktur asas, peluang pekerjaan dengan pendapatan bermaruah penyediaan akses perumahan mampu milik, peningkatan bantuan sosial dan pengukuhan perpaduan dan kesatuan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, pembangunan negeri dan penyelesaian isu legasi dan utama tidak boleh digerakkan hanya melalui menjual retorik janji dan mencanang sentimen kegagalan pihak lawan.
"Teras utama kepada keberkesanan sebarang bentuk strategi dan pendekatan penyelesaian adalah keupayaan hasil pendapatan negeri yang kukuh dan stabil. Semua pihak perlu tampil dengan manifesto realistik bersandarkan keupayaan fiskal negeri dalam tempoh lima tahun (2026 - 2030)," katanya.
Katanya, kejayaan peningkatan hasil pendapatan dan rizab negeri adalah teras kepada Manifesto GRS yang mempersembahkan hala tuju ke hadapan dan rekod prestasi untuk tempoh lima tahun lalu memimpin negeri.

