Jika GRS menang PRN17, rakyat Sabah akan dapat deposit percuma rumah pertama dan bantuan bulanan rakyat
22:11 Nov 18, 2025  |  By SabahKini2
Jika GRS menang PRN17, rakyat Sabah akan dapat deposit percuma rumah pertama dan bantuan bulanan rakyat

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, itu antara perkara dalam perancangan kerajaan pimpinannya yang akan dilaksanakan jika diberi semula mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17.

KOTA BELUD: Anak Sabah yang membeli rumah pertama di negeri ini akan dibantu membayar wang pendahuluan jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kembali memerintah pada 29 November ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, itu antara perkara dalam perancangan kerajaan pimpinannya yang akan dilaksanakan jika diberi semula mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah).

“Contohnya, apabila membeli rumah harga di bawah RM500,000, pembeli selalunya diminta membayar deposit antara lima hingga 10 peratus. 

“Jika kembali memerintah, kita akan bantu bayar deposit percuma kepada pembeli rumah pertama yang layak,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Tempasuk dan Usukan di sini hari ini.

Hajiji berkata, rakyat Sabah yang berumur 60 tahun akan diberi bantuan bulanan sebagai inisiatif baharu yang akan dilaksanakan oleh kerajaan jika GRS memerintah semula. 

Katanya, perancangan itu mampu dilaksanakan selepas selesai rundingan mengenai pengembalian hasil 40 peratus Sabah yang sudah mula dirunding dan dijangka meningkatkan pendapatan negeri. 

“Banyak lagi yang kita rancang tapi saya tidak mahu cakap banyak sekarang kerana nanti mereka di sebelah sana (pembangkang) kata ini semua cakap politik.  Tapi, apa yang kita lakukan ini adalah untuk mengatasi masalah rakyat, supaya rakyat Sabah dapat menikmati hasil dari kemerdekaan,” katanya. 

Sementara itu, Hajiji meminta rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mendakwa mahu membawa perubahan di negeri ini melalui pelbagai slogan seperti ‘Selamatkan Sabah’ yang disifatkannya sebagai retorik semata-mata. 

Katanya, mereka sudah diberi peluang sebelum ini menjadi kerajaan dan menjadi Ketua Menteri, selain bertahun-tahun memegang jawatan menteri penting Persekutuan, namun banyak masalah rakyat tidak diselesaikan. 

“Mereka (pembangkang) cakap kita gagal, tapi sebenarnya mereka yang gagal kerana dulu ketika berkuasa tidak berusaha menyelesaikan masalah jalan, air dan infrastruktur, sekarang menyalahkan kita pula. 

“Ada seorang itu Menteri Kerja Raya tapi jalan raya di tempat dia pun tidak dibuat. Di Semporna sampah bersepah, tapi pandai cakap mahu majukan Sabah, sedangkan tempat merekapun tidak terurus, jalan rosak. Jadi, cukuplah jangan bagi mereka peluang lagi,” katanya. 

Mengenai Tempasuk dan Usukan, Hajiji yang Pengerusi GRS yakin calon gabungan di dua kerusi berkenaan mampu mencapai kemenangan pada PRU17 Sabah 29 November ini.  Katanya, kawasan ini perlu diwakili oleh GRS supaya rakyat dapat diberi perhatian dengan lebih baik berbanding pemimpin parti lawan yang lebih banyak berpolitik. 

“Saya berharap sangat ada perubahan dari segi pembangunan di Kota Belud ini, khususnya di Tempasuk dan Usukan. Sebab itu kita perlu beri kepercayaan kepada orang baharu,” katanya. 

Turut hadir, calon GRS Usukan, Datuk Japlin Akim dan calon GRS Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari serta para penyokong GRS.

Comment