GRS hilang dua tahun pertama kerana Menteri KKR gagal – Armizan
19:11 Nov 19, 2025  |  By SabahKini2
GRS hilang dua tahun pertama kerana Menteri KKR gagal – Armizan

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kenyataan Bung itu ibarat ‘meludah ke langit jatuh ke muka sendiri’ kerana kegagalan sebenar berlaku ketika beliau sendiri menjadi Menteri Kerja Raya (KKR) Sabah.

TAWAU: Tuduhan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan paling gagal disifatkan sebagai tidak berasas dan hanya memakan diri sendiri.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kenyataan Bung itu ibarat ‘meludah ke langit jatuh ke muka sendiri’ kerana kegagalan sebenar berlaku ketika beliau sendiri menjadi Menteri Kerja Raya (KKR) Sabah.

Armizan berkata, dua tahun pertama pentadbiran GRS (2021-2022) menjadi tempoh yang hilang apabila tiada projek besar penstabilan bekalan air dan elektrik dapat digerakkan disebabkan kelemahan Bung ketika mengemudi kementerian berkenaan.

Menurutnya, rekod jelas menunjukkan bahawa sepanjang dua tahun Bung menerajui KKR Sabah, tiada satu pun projek utama penstabilan bekalan air dapat dimulakan.

“Di Tawau, Projek Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 hanya dimulakan pada 22 Julai 2025 selepas beliau tidak lagi berada di KKR. Begitu juga Projek Naik Taraf LRA Kogopon di Papar yang lama dirancang tetapi hanya bermula pada Ogos 2023 sebaik sahaja Datuk Shahelmy mengambil alih kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Jentera Muda GRS DUN Tanjung Batu, di sini, malam tadi.

Armizan menegaskan bahawa kedua-dua projek itu sudah ada dalam perancangan lama, namun hanya mampu direalisasikan setelah Bung tidak lagi memegang jawatan.

“Ketika ini juga GRS turut merancang projek baharu seperti Projek LRA Balung II yang dijadual dimulakan pada 2026,” katanya.

Mengulas isu bekalan elektrik pula, Armizan menjelaskan bahawa Sabah hanya menerima kuasa kawal selia elektrik secara rasmi pada 3 Januari 2024, selepas lebih 40 tahun ia berada di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Sabah Electricity (SE) juga masih dimiliki majoriti oleh Kerajaan Persekutuan melalui TNB. Jadi tidak wajar menuding jari kepada kerajaan GRS atas masalah yang sudah berlarutan sejak sekian lama,” katanya.

Armizan turut berkata, tindakan Bung yang campur tangan dalam lantikan dua Ketua UMNO Bahagian ke Lembaga Pengarah SE melalui Menteri Tenaga ketika itu, yang juga daripada UMNO.

“Soalnya, apa pencapaian wakil-wakil UMNO ini? Ketika kuasa ada pada mereka, masalah elektrik tidak selesai. Itu hakikatnya,” katanya.

Armizan berkata, selepas kuasa kawal selia dipulangkan kepada Sabah dan tiada lagi campur tangan UMNO dalam kerajaan negeri, pelbagai projek penstabilan bekalan elektrik mula dilaksanakan, termasuk Projek Rangkaian Grid Pantai Timur (Southern Link Fasa 1) yang bermula pada 2024.

“Ternyata selepas era Bung berakhir, Sabah mula bergerak dan banyak projek asas yang tertangguh akhirnya dapat dimulakan,” katanya.

Menurut Armizan, keluarnya Bung daripada kerajaan negeri adalah antara faktor utama yang membuka ruang kepada pelaksanaan projek kritikal demi rakyat.

“Takdir menentukan seorang ‘Menteri Gagal’ tidak lagi berada dalam kerajaan, dan hari ini kita lihat projek-projek besar air dan elektrik akhirnya bergerak untuk manfaat rakyat Sabah. Kita dalam GRS akan terus fokus memperbaiki infrastruktur asas demi memastikan rakyat menikmati pembangunan yang sepatutnya,” katanya.

Comment