Rundingan pengembalian 40% hasil Sabah dijangka selesai dalam tiga bulan – Hajiji
19:11 Nov 19, 2025  |  By SabahKini2
Rundingan pengembalian 40% hasil Sabah dijangka selesai dalam tiga bulan – Hajiji

Katanya, perbincangan yang berlangsung di Menara Kinabalu itu antara lain berkaitan mekanisme atau cara menyelesaikan pembayaran 40 peratus yang menjadi hak negeri ini.

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin rundingan pengembalian 40 peratus hasil bersih Sabah dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan seperti yang diperintahkan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober lepas.

Beliau berkata, rundingan itu sudah dimulakan semalam menerusi perbincangan peringkat pegawai yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) bagi pihak kerajaan negeri dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia mewakili kerajaan Persekutuan. 

Katanya, perbincangan yang berlangsung di Menara Kinabalu itu antara lain berkaitan mekanisme atau cara menyelesaikan pembayaran 40 peratus yang menjadi hak negeri ini. 

“Mereka sudah bincang, SKN sudah beritahu saya mereka sudah bermesyuarat dengan Persekutuan tentang mekanisme atau cara menyelesaikan 40 peratus itu, macam mana pembayaran dan lain-lain.  Jadi kita tunggulah, sekarang ia di peringkat pegawai dan SKN mewakili kerajaan negeri, manakala Ketua Setiausaha Perbendaharaan mewakili kerajaan Persekutuan. 

"Kita ada masa lagi, mahkamah bagi kita tiga bulan, 90 hari untuk bincang baru diputuskan kerajaan Persekutuaan dan negeri nanti,” katanya bagi mengulas mengenai perkembangan rundingan 40 peratus selepas kerajaan Persekutuan memutuskan tidak membuat rayuan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk dan Usukan di sini semalam.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, penentuan mekanisme itu agak teknikal dan memerlukan beberapa perbincangan sebelum kerajaan negeri dan Persekutuan mencapai persetujuan berhubung perkara itu. 

“Sebenarnya ini agak teknikal sedikit, jadi perinciannya tidak dapat dijelaskan sekarang. Jadi kita tunggulah, mereka mungkin bincang berkali-kali baru dapat capai persetujuan,” katanya. 

Beliau turut menjelaskan belum ada jumlah hasil yang dituntut Sabah setakat ini dan kerajaan negeri menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk memaklumkan agihan hasil 40 peratus itu nanti. 

“Belum ada amaun, kita pun tidak tahu berapa hasil dikutip dari Sabah secara jelas. Ini kita minta biar kerajaan Persekutuan maklumkan agihan peruntukan, apa 40 peratus dan apa agihan tanggungjawab kerajaan Persekutuan kepada Sabah,” katanya. 

Terdahulu, pada majlis itu, Hajiji mendedahkan ada meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kelayakan 40 peratus hasil bersih Sabah yang termaktub dalam perlembagaan. 

“Dia (Perdana Menteri) telefon saya dan beritahu ‘Insya Allah kita tidak buat rayuan 40 peratus’. Dia tidak rayu itu dan apa yang dirayu (Jabatan Peguam Negara) itu adalah ayat yang dirasa tidak adil dibuat oleh kerajaan dulu.  Jadi, berilah mereka peluang untuk menyelesaikannya. Kelmarin sudah mula rundingan, jadi apa lagi. Kalau selesai rundingan ini nanti, pendapatan kita akan bertambah,” katanya. 

Beliau juga tidak takut berunding dengan kerajaan Persekutuan, malah paling banyak bersuara setiap kali Mesyuarat MA63 diadakan. 

“Saya ada cara sendiri mentadbir, saya tidak takut berunding dengan kerajaan Persekutuan, malah dalam Mesyuarat MA63, saya yang paling banyak bercakap.  Perdana Menteri pun kata Hajiji nampak saja sentimental, tapi dalam mesyuarat banyak cakap. Tapi saya diam saja (tidak heboh-heboh) pasal perkara ini kerana itu cara saya,” katanya. 

Comment