Maritim Malaysia tahan 9 kru nelayan langgar peraturan dan tiada dokumen
19:11 Nov 19, 2025  |  By SabahKini2
Maritim Malaysia tahan 9 kru nelayan langgar peraturan dan tiada dokumen

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot peronda mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan lebih kurang 2.7 batu nautika timur laut Pulau Gaya.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan menahan sebuah vesel nelayan tempatan ketika menjalankan rondaan rutin di perairan daerah ini kira-kira jam 5 petang Isnin.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot peronda mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan lebih kurang 2.7 batu nautika timur laut Pulau Gaya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati sembilan kru termasuk tekong berada di atas vesel berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kru dan tekong disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008 (Kapal Kecil Berlesen Sabah) kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda seperti yang ditetapkan.

“Mereka juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan,” katanya.

Katanya, vesel bersama kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut, dengan nilai rampasan dianggarkan RM150,000 meliputi vesel serta peralatan di dalamnya.

“Berikutan tangkapan ini, Maritim Malaysia akan memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan Sabah berada dalam keadaan selamat serta bebas kegiatan melanggar undang-undang. Saya menegaskan bahawa pematuhan undang-undang oleh komuniti nelayan amat penting dan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar,” katanya.

Khairulanuar juga menyeru semua pengusaha dan pengendali vesel memastikan dokumen, laporan pertukaran nakhoda dan pematuhan peraturan maritim dipenuhi sepenuhnya bagi mengelakkan tindakan tegas.

“Orang awam turut diminta menjadi mata dan telinga agensi dengan menyalurkan maklumat segera sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan di perairan. Sebarang maklumat dan aduan boleh dibuat melalui Pusat Operasi Maritim Sabah di talian 088-270165 atau talian kecemasan 999,” katanya.

Comment