BEAUFORT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memastikan tiada rakyat terhalang daripada menunaikan tanggungjawab mereka balik mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ke kawasan masing-masing akibat kekangan kewangan.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bantuan itu bukan amalan baharu sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada perancangan logistik jentera parti di setiap DUN.
Beliau berkata, kemudahan itu merangkumi sokongan perjalanan darat dan udara, khususnya bagi pengundi yang berada di luar daerah atau luar negeri, selain memastikan aliran pengundian di 29 November ini berjalan lancar tanpa mengurangkan kadar keluar mengundi.
"Selalunya di tiap-tiap jentera di DUN, kita ada peruntukan bagi pengundi luar terutama yang daripada jauh datang mengundi, kita ada sediakan peruntukan untuk mereka, bantu mereka, untuk kapal terbang pun ada," katanya ketika ditemui media selepas hadir pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS Dun Klias & Dun Lumadan di Dewan Bagandang, Beaufort.
Hajiji ketika berucap pada program berkata, kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai dasar yang memudahkan rakyat, termasuk golongan pelajar yang berhadapan kos sara hidup semakin meningkat.
Katanya, selain peruntukan pilihan raya, kerajaan negeri sebelum ini turut memperkenalkan bantuan mobiliti pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Sabah yang membolehkan mereka pulang ke kampung ketika musim perayaan atau cuti panjang.
Bantuan itu jelasnya, tercetus selepas beliau sendiri menerima pesanan ringkas daripada seorang pelajar yang meminta bantuan tambang pulang, sekali gus membuka ruang kepada kerajaan merangka dasar lebih menyeluruh untuk membantu golongan muda di seluruh negeri.
"Dia mesej dalam WhatsApp saya untuk minta bantuan balik kampung, tambang sampai rumah dia mungkin RM50 dia boleh sampai rumah dia. Tetapi atas kesedaran dan keinsafan, masih ramai lagi anak-anak kita dari kampung ini yang susah.
"Maka timbullah dasar dan juga kelulusan untuk kita bantu semua mereka," katanya.
Hajiji berkata, ia mendorong kerajaan memperuntukkan RM300 bagi setiap pelajar IPT di Sabah sebagai bantuan perjalanan, selain menambah baik dana biasiswa negeri yang kini mencecah RM145 juta setahun.
Beliau turut menegaskan kesinambungan pentadbiran GRS penting bagi memastikan semua agenda pembangunan dapat diteruskan, termasuk projek perindustrian minyak dan gas di Sipitang yang dijangka memberi limpahan ekonomi besar kepada Beaufort, Klias dan Lumadan.
Dalam pada itu, dua penyandang kerusi GRS di daerah ini ketika ditemui media selepas program jelajar berkenaan yakin gelombang sokongan rakyat kekal memihak kepada mereka selepas melihat sambutan menggalakkan ketika kempen.
Calon GRS DUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih berkata jumlah kehadiran penyokong memberi isyarat jelas bahawa rakyat mahu mandat kerajaan dikekalkan.
"Saya janjikan satu pembangunan yang lebih bagus. Peningkatan ekonomi kepada orang-orang Klias supaya pengundi di DUN Klias dapat hidup, mempunyai pendapatan yang cukup baik," katanya.
Sementara itu, calon GRS DUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, berkata gabungan jentera GRS dan Pakatan Harapan (PH) menjadikan kempen lebih tersusun dalam berdepan persaingan pelbagai parti.
"Dengan adanya kerjasama dari Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan Malaysia MADANI, kita lihat banyak peruntukan disalurkan pada kerajaan GRS dan dapat merealisasikan apa rakyat mahu, apa rakyat inginkan," katanya.
Pada PRN kali ini, Isnin berdepan saingan sembilan penjuru di DUN Klias, manakala Ruslan bertanding enam penjuru di DUN Lumadan, kedua-duanya adalah penyandang kerusi itu.

