SEMPORNA: Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menangkap ikan di perairan Pulau Bum-Bum, di sini, semalam.
Mangsa, lelaki berusia 36 tahun disedari tidak kembali ke permukaan selepas turun menyelam, sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Pegawai Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Akimullah Adnan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Semporna pada jam 9 pagi tadi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah bot Kevlar-1 digerakkan ke lokasi sebelum tiba pada jam 10.09 pagi.
“Maklumat awal diterima menyatakan mangsa dipercayai hilang ketika menyelam untuk menangkap ikan. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan di sekitar kawasan mangsa dipercayai hilang.
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan pasukan kami menghadapi sedikit kekangan liputan GIRN serta talian telefon di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata operasi turut melibatkan pasukan Maritim Malaysia Semporna dan perkembangan terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

