GRS perkenalkan enakmen baharu permudah urusan hartanah
22:11 Nov 20, 2025  |  By SabahKini2
GRS perkenalkan enakmen baharu permudah urusan hartanah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, enakmen berkenaan akan dilaksanakan jika GRS diberi mandat untuk memerintah semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperkenalkan satu enakmen baharu bagi memudahkan urusan jual beli dan pengurusan hartanah khususnya projek yang melibatkan pemaju dan pemilik seperti pembangunan 1Borneo Hypermall.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, enakmen berkenaan akan dilaksanakan jika GRS diberi mandat untuk memerintah semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah.

Katanya, beberapa peraturan sedia ada sudah terlalu lama dan tidak lagi sesuai untuk digunakan. Justeru, ia perlu digubal semula bagi mempercepatkan urusan antara pembeli, pemilik tanah dan pihak berkaitan.  Menurutnya, enakmen baharu itu akan menangani halangan teknikal yang sering melambatkan proses jual beli dan pertukaran hak milik hartanah. 

"Untuk urusan-urusan yang berkaitan, kadang-kadang enakmen yang ada tidak lagi berapa sesuai kerana sudah lama, berpuluh-puluh tahun.

"Jadi kita perlu gubal untuk memudahkan lagi pembeli dan juga pemilik tanah dan hartanah ini,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan 1,974 Geran Subsidiari 1Borneo kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) oleh Jabatan Tanah dan Ukur di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kenyataannya yang yakin GRS mencapai majoriti mudah pada PRU17 Sabah ini, Hajiji yang juga Pengerusi GRS menegaskan, keyakinan itu berasaskan kejayaan nyata kerajaan GRS sepanjang lima tahun memerintah. 

“Kita begitu yakin kerana dalam masa lima tahun ini, kita telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan Sabah. Pelbagai sektor ekonomi turut dipertingkatkan selain program kebajikan meluas untuk membantu rakyat," katanya. 

Beliau berkata, kerajaan turut menumpukan kepada pembangunan modal insan dengan menyediakan bantuan pendidikan terbesar dalam sejarah Sabah.  

“Dalam masa hampir lima tahun, kita belanja RM1.3 bilion. Biasiswa pun kita tingkatkan dan macam-macam lagi. Kejayaan kerajaan termasuk termeterainya perjanjian dengan PETRONAS, peningkatan hasil negeri daripada hampir RM4 bilion kepada RM7 bilion, selain rizab negeri yang bertambah daripada sekitar RM3 bilion kepada lebih RM8 bilion. 

“Ini satu kejayaan dan rakyat mesti melihat ini,” katanya sambil menyatakan hampir 100,000 rakyat di bawah e-Kasih menerima bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) bernilai RM300 sebulan termasuk bantuan perumahan seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ). 

Mengulas serangan pembangkang, Hajiji berkata, mereka pernah memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan Persekutuan, namun tidak menunjukkan pencapaian yang setara.

Justeru beliau berharap rakyat membuat pilihan tepat pada pilihan raya nanti. Menurutnya, GRS sudah berada di landasan yang betul dan rakyat perlu melihat dengan betul agar tidak hanya mengikut perasaan tetapi melihat bukti prestasi nyata pencapaian kerajaan GRS dalam lima tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan termasuk menyelesaikan masalah air yang menurutnya berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan terdahulu yang menamatkan konsesi air. 

Hajiji turut menolak dakwaan kononnya kerajaan GRS terlibat dalam rasuah dan menyifatkannya sebagai fitnah bermotif politik.  

“Apa yang rasuah? Kita potong ataupun batalkan permohonan mereka dalam cari gali mineral…itu (dakwaan) semua mempunyai motif politik yang jahat. Sebab itu keluarlah video-video itu. Orang dari sana datang ke sini mahu mengajar kita. Patut dia ada disiplin dan sopan bila datang ke negeri orang untuk mencari rezeki. Apa dia mahu buat di sini?” tegasnya. 

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji menzahirkan kesyukuran kerana penyerahan 1,974 geran subsidiari yang ditunggu-tunggu pemilik dan pembeli kedai rumah di 1Borneo akhirnya dapat direalisasikan. 

Beliau berkata, penyerahan itu membuktikan kesungguhan GRS mempercepatkan pengeluaran strata title, walaupun terdapat beberapa kekangan teknikal yang masih perlu diselesaikan. Katanya, perkembangan itu menunjukkan kerajaan sentiasa komited menyelesaikan isu berkaitan urusan tanah dan hartanah, termasuk mencadangkan satu enakmen baharu bagi memudahkan lagi urusan antara pemaju dan pemilik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada USIA dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur atas kejayaan menyelesaikan masalah dihadapi oleh pemilik atau pembeli hartanah di 1Borneo. 

Turut hadir, Pengarah Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew Chau Min dan Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad.

Comment