Ruslan lancar manifesto bertemakan Lumadan Maju, Rakyat Sejahtera
22:11 Nov 20, 2025  |  By SabahKini2
Ruslan lancar manifesto bertemakan Lumadan Maju, Rakyat Sejahtera

Ruslan berkata, manifesto berkenaan mengandungi misi dan visi untuk menjadikan Lumadan sebagai sebuah kawasan yang maju, makmur dan harmoni dalam semua aspek.

BEAUFORT: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam menggariskan lima teras bagi manifesto gabungan itu yang bertemakan 'Lumadan Maju, Rakyat Sejahtera' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-17 Dewan Undangan Sabah (PRU17 Sabah).

Mengulas lanjut Ruslan berkata, manifesto berkenaan mengandungi misi dan visi untuk menjadikan Lumadan sebagai sebuah kawasan yang maju, makmur dan harmoni dalam semua aspek.

Jelasnya, antara langkah strategik yang terkandung termasuk, pemerkasaan pembangunan ekonomi, pendidikan dan modal insan, agama dan budaya, infrastruktur dan kemudahan asas serta pembangunan sosial masyarakat.

"Usaha di bawah manifesto ini adalah kesinambungan gerak kerja kita sebelum ini khususnya dalam aspek pembangunan yang lebih mapan untuk rakyat dalam semua segi.

"Pada masa sama, ia juga akan dijadikan sebagai garis panduan kita untuk terus memperkasa Lumadan jika diberi mandat selepas ini," katanya di Majlis Pelancaran Manifesto GRS Lumadan, kelmarin. Turut hadir semasa pelancaran itu ialah Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.

Ketika ditanya mengenai cabaran mendapatkan sokongan pengundi 18 tahun, Ruslan yang juga Naib Presiden PBS berkata, beliau yakin sokongan golongan ini akan memihak kepada GRS. Ini kerana katanya, pihaknya telah membina 12 buah dewan terbuka yang boleh digunakan bukan saja untuk bersukan oleh golongan ini tetapi juga program sosial lainnya.

"Ketika ini anak muda bebas bersukan tanpa mengira keadaan cuaca dengan adanya dewan-dewan terbuka ini yang bukan saja untuk kemudahan sukan tetapi juga program sosial lainnya. Justeru, kemudahan ini adalah aspirasi anak muda selain pembangunan lainnya seperti ekonomi dan sebagainya yang akan kita bawa selepas diberi mandat pada PRU17 Sabah ini," katanya.

Comment