KOTA KINABALU: Rekod pencapaian Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang lima tahun lalu menjadi asas kepada keyakinan gabungan itu untuk memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Pengerusinya yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kejayaan kerajaan dalam pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat, pembangunan modal insan dan peningkatan fiskal yang ketara memberikan bukti jelas kepada pengundi mengenai kemajuan yang stabil dan konsisten.
"Kami yakin kerana sepanjang lima tahun ini kami berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan di Sabah.
"Kami sudah meningkatkan aktiviti ekonomi merentasi pelbagai sektor dan berjaya membantu rakyat, khususnya mereka yang memerlukan, melalui program kebajikan," katanya selepas menyaksikan majlis penyerahan subsidi geran 1Borneo oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah kepada Pertubuhan Islam Sabah Bersatu (USIA) di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai kenyataannya semalam bahawa gabungan enam parti itu akan memenangi 40 daripada 55 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi GRS dalam PRN Sabah ke-17.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, pelaburan besar kerajaan dalam bidang pendidikan adalah tonggak utama dalam pencapaiannya.
"Bantuan pendidikan kita adalah yang terbesar dalam sejarah Sabah. Dalam hampir lima tahun, kita membelanjakan RM1.3 bilion. Kita juga meningkatkan jumlah biasiswa," katanya, sambil menambah usaha ini diperkukuh dengan dasar-dasar bagi memperkasa modal insan di seluruh negeri.
Hajiji turut menyorot pencapaian lain, termasuk perjanjian penting negeri dengan PETRONAS serta peningkatan besar dalam hasil kerajaan.
"Daripada hampir RM4 bilion, kita berjaya meningkatkannya kepada RM7 bilion. Sebelum ini, rizab kita sekitar RM3 bilion. Sekarang melebihi RM8 bilion. Ini adalah satu pencapaian, dan rakyat harus mengakui perkara ini," katanya.
Hajiji berkata hampir 100,000 orang menerima manfaat daripada bantuan bulanan RM300, manakala perumahan percuma termasuk program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) membantu golongan rentan.
Dalam soal infrastruktur, beliau berkata kerajaan sedang menangani isu-isu lama, termasuk masalah bekalan air kronik Sabah.
"Masalah air ini bukan baharu. Ia sudah lama wujud. Mereka asyik potong sana sini, syarikat konsesi. Inilah punca sebenar. Kita perlu membayar RM315 juta. Jika kontrak itu tidak dibatalkan, RM315 juta itu boleh digunakan untuk membina jalan kampung dan jambatan," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Hajiji mengesahkan kerajaan negeri merancang untuk meminda beberapa peruntukan dalam Ordinan Tanah tahun depan bagi memodenkan dan mempermudah proses berkaitan tanah.
Beliau berkata, beberapa peruntukan yang tidak berubah selama puluhan tahun kini tidak lagi sesuai.
"Kita perlu meminda untuk memudahkan lagi urusan pembeli serta pemilik tanah atau hartanah," katanya.

