PITAS: Usaha memperkukuh keselamatan perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) terus dipertingkat apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melaksanakan tinjauan tapak bagi cadangan pembinaan Pos Maritim di Kampung Pegasaon Mapan-Mapan di sini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, tinjauan dilakukan bagi memastikan aspek keselamatan, kesesuaian lokasi dan keperluan operasi diteliti secara menyeluruh sebelum fasa pembangunan dimuktamadkan.
“Jika lokasi ini memenuhi kriteria dan keperluan operasi, tindakan susulan akan diambil bagi meneruskan cadangan pembinaan pos,” katanya.
Beliau mengetuai sesi lawatan berkenaan bersama pegawai kanan ESSCOM diketuai Komander ESSCOM (KEC) Datuk Victor B. Sanjos, Timbalan Komander ESSCOM (TKEC) Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin serta Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM (KSBOL) Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed.
Tinjauan turut disertai wakil Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (Pitas) serta Pejabat Daerah Pitas yang memberi input teknikal berkaitan keluasan tanah, status rizab dan hal pentadbiran setempat.
Dalam sesi itu, Pegawai Seksyen Operasi Zon Maritim Kudat, Lefternan Madya Maritim Muhammad Afify Ahamad memberikan taklimat mengenai kedudukan tapak, keperluan infrastruktur, aspek logistik dan potensi operasi keselamatan maritim yang bakal dilaksanakan di pos berkenaan.
Cadangan penubuhan Pos Maritim Kampung Pegasaon Mapan-Mapan dijangka mengukuhkan rangkaian keselamatan maritim di kawasan Pitas dan perairan sekitarnya, khususnya dalam mengekang jenayah rentas sempadan, aktiviti penyeludupan serta memastikan kesiapsiagaan operasi berada pada tahap optimum di ESSZONE.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan ESSCOM dan agensi keselamatan lain demi memastikan perairan negara sentiasa selamat serta kesejahteraan masyarakat setempat terpelihara.

