Cubaan seludup petrol bernilai RM20 ribu digagalkan Maritim Malaysia
23:11 Nov 21, 2025  |  By SabahKini2
Cubaan seludup petrol bernilai RM20 ribu digagalkan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, rampasan dilakukan oleh Bot Adal 18 menerusi operasi bersepadu OP Pluto Timur 2/2013, OP Khas Cegah Pati (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan OP Tiris 3.0.

SEMPORNA: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol apabila dua bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dirampas dalam operasi di sini.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, rampasan dilakukan oleh Bot Adal 18 menerusi operasi bersepadu OP Pluto Timur 2/2013, OP Khas Cegah Pati (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan OP Tiris 3.0 sekitar pukul 5.45 petang dan 5.50 petang.

Menurutnya, dua bot berwarna kelabu biru dan kelabu itu ditemukan kira-kira 0.1 batu nautika utara Tanjung Pantau-Pantau dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot ditinggalkan tanpa kru, dipercayai pemilik bot melarikan diri daripada ditahan.

“Dua bot bersama dua enjin sangkut Yamaha 40hp dan 37 jerikin petrol yang disyaki barang kawalan yang cuba diseludup keluar dari negara ini dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa kebenaran, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM20 ribu.

“Bot dan semua barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Semporna untuk proses dokumentasi dan siasatan seterusnya oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Maritim Malaysia menegaskan komitmen memperketat kawalan serta meningkatkan operasi bagi membanteras jenayah maritim termasuk aktiviti penyeludupan di perairan Semporna,” katanya.

Comment