Ketua Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah, Tsang Hieng Yee berkata, kemenangan tersebut penting untuk memastikan Sandakan dapat dibangunkan dengan lebih pesat selepas kegagalan DAP melaksanakan tanggungjawab itu sejak menang dalam pilihan raya umum pada 2013.
Katanya, dalam tempoh itu, kepimpinan DAP jelas terbukti tidak mampu membawa sebarang kebaikan atau manfaat kepada masyarakat setempat.
“Saya memohon kepada masyarakat Tionghua agar memberi peluang kepada calon BN pada PRU-14 agar Sandakan dapat menikmati pembangunan dan kemajuan dengan sokongan, sumber, tenaga kerja berbakat dan pengalaman daripada kerajaan BN.
“Kerajaan BN mempunyai perancangan jangka panjang untuk membangunkan pelbagai sektor di Sandakan seperti pelancongan, pendidikan serta agrikultur,” katanya ketika berucap di Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Pengundi Tionghua di Sandakan baru-baru ini.
Hsieng Yee berkata, tumpuan terhadap pelbagai industri itu pastinya akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya untuk golongan muda.
Namun katanya, perancangan jangka panjang itu hanya dapat direalisasikan dengan lebih efektif sekiranya kerusi Parlimen Sandakan kembali kepada BN dan dalam masa yang sama kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kekal bersama BN.